CYBERJAYA, 5 Disember 2019 – Pelajar program Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul juara dalam pertandingan Inovasi Pengaturcaraan Perisian (PROCOM) 2019 anjuran Chinese Weekly kali kedua diadakan di negara ini, pada 4 hingga 5 Disember 2019.

Juara dari USIM membawa pulang trofi dan wang tunai RM2,500 manakala tempat kedua dimenangi peserta dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dengan wang tunai RM1500 dan tempat ketiga dari peserta Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) dengan wang tunai RM1000 dengan masing-masing membawa pulang trofi.

Kemenangan itu juga melayakkan tiga pelajar USIM, Nafisah Bt Kamaruzzaman, Noor Faatin Najwa Bt Othman dan Nur Amirah Bt Yahaya dari Fakulti Sains dan Teknologi mewakili Malaysia ke Vietnam dalam pertandingan 11th International Programming Contest anjuran Chinese Weekly dengan kerjasama NAPROCK (Nourishment Association for Programming Contest KOSEN) pada Mac 2020 di Vietnam dengan tajaan tiket penerbangan dan penginapan.

Mentor yang juga selaku pencetus idea inovasi, Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay berkata mereka agak terkejut dan teruja dengan kemenangan itu kerana persaingan agak sengit antara peserta lain. Ini merupakan kali pertama USIM menyertai PROCOM Malaysia dan diharapkan kemenangan sebagai tempat pertama menjadi pemangkin kepada pelajar berusaha lebih bersungguh di peringkat antarabangsa.

Katanya, kumpulan itu mengetengahkan projek Tel-Med Care yang memberi fokus membangunkan perisian aplikasi mudah alih tentang rekod ubat terkawal secara atas talian dengan integrasi prototaip mesin layan diri di lokasi terhad seperti balai pelepasan lapangan terbang dan stesen keretapi.

“Produk ini dalam fasa mendapatkan paten dan ini merupakan kemenangan kali kedua pelajar setelah johan dalam kategori inovasi bagi pertandingan Telecom Application Developer Hackathon (TADHack) pada Oktober 2018 di mana konsep idea dipertandingkan,” ujarnya.

Tel-Med Care dibangunkan dalam tempoh sekitar 2019 dan mendapat sokongan daripada mentor, Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay yang juga pensyarah pengiring pada pertandingan kali ini.

“Sebagai persediaan berhadapan dengan peserta dari pelbagai negara lain seperti Jepun dan Vietnam, kami akan menambah baik fungsi aplikasi yang sedia ada dan mendapatkan maklum balas daripada pengguna luar,” ujarnya lagi.

PROCOM 2019 disertai 11 kumpulan peserta di peringkat akhir dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU). Pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu disokong oleh Kedutaan Jepun di Malaysia, MDEC, Japan Graduates Association of Malaysia (JAGAM) dan agensi dari Jepun, Nourishment Association for Programming Contest KOSEN (NAPROCK).

Disediakan oleh:
Sakinah Ali Pitchay
Ketua Program Sains Komputer (Keselamatan & Jaminan Maklumat)
Fakulti Sains dan Teknologi

Dikemaskini oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan