NILAI, 24 Mac – Masa cuti hujung minggu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Taman Nilai Perdana, Nilai dengan menyertai program Belia Islam Selamat dan Sejahtera (BLISS) anjuran Pembimbing Rakan Universiti (PRU),Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Nilai Perdana.

Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk memasyarakatkan ilmu selain mengeratkan hubungan antara pelajar USIM dan penduduk sekitar. Pelbagai program libatsama pelajar bersama komuniti Nilai Perdana ini seperti bengkel membuat kek, bengkel jahitan manik, bengkel caklempong dan bengkel celik solat berjaya menarik penyertaan penduduk setempat dipelbagai peringkat umur.

Yang Berhormat Encik Mustafa Bin Abdul Salim, ADUN Lenggeng semasa merasmikan majlisn ini berkata “Usaha pihak USIM dalam mendekati masyarakat dengan program komuniti seperti ini amat kita hargai dan alu-alukan. Secara tidak langsung, warga Universiti dapat berkongsi kemahiran dan dan ilmu bersama penduduk setempat yang semestinya memberi manfaat bersama”.

“Kami berharap untuk mengadakan lagi program seperti ini dan kami di pihak penganjur amat bangga dan berbesar hati dengan sambutan masyarakat yang sangta resposif dalam aktiviti seperti BLISS ini,” ulas Pengarah Program, Saudari Syazwani Binti Salleh.

Sementara itu, seramai 10 orang peserta yang berusia sembilan tahun hingga 17 tahun terpilih untuk mengikuti bengkel kesenian alat muzik Negeri Sembilan iaitu permainan caklempong. Bengkel ini yang diadakan berasingan daripada bengkel-bengkel lain iaitu bertempat di Kampus USIM dan dikendalikan sendiri oleh Urusetia Kebudayaan Pelajar USIM.

Penduduk setempat terutama golongan wanita yang menyertai program BLISS ternyata gembira kerana perlbagai kemahiran baru diperolehi mereka terutamanya dalam Bengkel Pembuatan Kek dan Jahitan Manik. Melalui Bengkel Pembuatan Kek contohnya, mereka diberi tunjuk ajar penyediaan bahan membuat kek, proses membakar dan penghasilan topping kek oleh tenaga pengajara berpengalaman dari Fakulti Sains dan Teknologi.

“Program BLISS yang julung kali diadakan ini telah berjaya berjaya mencapai objektif penganjurannya dan berpotensi untuk dikembangkan dimasa hadapan. Ianya satu program yang sangat bermanfaat “kata Puan Noryani binti Ali, 43

Disediakan oleh :
Ejen Berita USIM (Eb Yani Abuhassan, EB Fatymah Sabri, EB Amera, EB Arina)

Disunting oleh :
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)