BANTING – Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi kerjasama strategik bersama Kelab BITARA, Sekretariat Pusat Wakaf dan Zakat (SEPAKAT) serta Pusat Wakaf dan Zakat USIM telah menganjurkan Program Tautan Bakti di Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Kanchong Darat, Banting, Selangor pada 18 Julai 2026 baru-baru ini.

Program yang digerakkan oleh 35 ahli Kelab BITARA di bawah pimpinan Pengarah Program, Muhamad Muzafar Mohamad Zain itu bertujuan memupuk semangat kepedulian sosial, memperkukuh tanggungjawab terhadap komuniti serta memasyarakatkan nilai integrasi ilmu dan perkongsian rezeki bersama masyarakat.

Pengarah Penerbit USIM, Hariza Mohd Yusof berkata, penglibatan Penerbit USIM dalam program tersebut berteraskan prinsip bahawa ilmu tidak seharusnya terhad di dewan kuliah atau perpustakaan semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi secara lebih meluas agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sebagai badan penerbitan universiti awam, menjadi tanggungjawab kami untuk menyumbang kembali kepada komuniti, terutamanya anak-anak yang memerlukan sokongan moral.

“Dalam program ini, Penerbit USIM memberikan sumbangan berupa buku terbitan universiti serta bantuan kewangan bagi memupuk budaya membaca dan membina motivasi untuk masa hadapan,” katanya.

Program tersebut turut diisi dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk sesi suai kenal, pengurusan kebersihan dan ruang, aktiviti merewang serta penyerahan sumbangan bahan bacaan dan keperluan asas.

Mengulas mengenai pembentukan emosi dan sahsiah, Hariza berkata, program kemasyarakatan seumpama itu menjadi wadah yang bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim, malah menyuburkan rasa syukur dan keinsafan dalam kalangan staf serta pelajar USIM.

“Program seperti ini menjadi ‘jambatan jiwa’ dua hala kerana manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh anak-anak di Rumah As-Solihin, malah turut memberi pengalaman dan kesedaran kepada warga USIM yang terlibat,” katanya.

Penerbit USIM berharap bahan bacaan berkualiti yang disumbangkan dapat terus dimanfaatkan oleh pihak pengurusan dan anak-anak Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin.

Penerbit USIM turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan melaksanakan program tersebut dan berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan secara berkala pada masa akan datang.

Oleh: Nur Khadija Sulaiman