NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri menerusi Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan yang berlangsung pada 5 Ogos 2026 baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani.
Dalam majlis berkenaan, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali dilantik sebagai Profesor Adjung (Industri), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.
Turut menerima pelantikan ialah Penolong Kanan Pengarah, Bahagian Pensijilan Kompetensi JPK, Ts. Bizaisham bin Bidin sebagai Felo Budi, Jabatan Pendaftar USIM.
Seusai majlis pelantikan, satu sesi perbincangan strategik diadakan bagi membincangkan hala tuju pembangunan TVET negara.
Antara fokus utama yang diketengahkan ialah pembangunan TVET Tahfiz, TVET Islami dan Pengurusan Masjid, selaras dengan aspirasi USIM untuk memperkasa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional yang berteraskan nilai-nilai Islam.
Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin berkata, kerjasama strategik antara USIM dan JPK diyakini mampu memperkukuh ekosistem TVET Islami melalui gabungan kepakaran akademik dan industri.
“Sinergi ini dijangka melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal yang kompeten, malah turut menghayati nilai, etika dan akhlak Islam dalam bidang profesional masing-masing”.
“Selain itu, kerjasama ini membuka ruang kepada penerokaan bidang-bidang bukan teknikal yang semakin mendapat perhatian industri seperti Pengurusan Masjid, Perkhidmatan Sertu dan Pensijilan Halal”, ujarnya lagi.
Beliau menambah, pembangunan program dalam bidang-bidang ini dijangka dapat memenuhi keperluan semasa serta memperluas peluang pembangunan modal insan berkemahiran.
“Dalam usaha meningkatkan kualiti institusi tahfiz, USIM turut menyasarkan pembangunan Diploma Pengajaran Tahfiz sebagai salah satu inisiatif untuk memperkasa tenaga pengajar tahfiz”.
“Langkah ini diharap dapat mewujudkan standard pengajaran yang lebih sistematik dan berkualiti di institusi tahfiz seluruh negara”.
“Kerjasama ini juga akan memperluas pengiktirafan kemahiran melalui pelaksanaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), sekali gus memberi peluang kepada individu yang berpengalaman dalam bidang masing-masing memperoleh pengiktirafan formal menerusi mekanisme Recognition of Prior Learning (RPL)”.
USIM percaya sinergi bersama JPK akan menjadi pemangkin kepada pemerkasaan agenda TVET negara, di samping menjadi wadah perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran industri secara langsung kepada warga universiti.
Kerjasama ini diharap dapat menyokong usaha melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek, selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
Turut hadir ialah Pendaftar USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali; Dekan FPQS, Prof. Madya Dr. Mohd Zohdi Mohd. Amin; serta Pengarah Keselamatan dan Penguatkuasaan merangkap Pengurus USIM Talentcraft, Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin.


