NILAI, 29 FEBRUARI 2016 – Projek pemindahan ilmu berbentuk pendidikan dinamakan ‘Development Education of Orang Asli (De’Asli)’  membawa tuah kepada pasukan Duta Jauhar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila merangkul Anugerah Emas dalam Kongres Duta Jauhar 2.0 bertempat di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Program Duta Jauhar diilham dan dilaksanakan bagi memberi ruang kepada anak muda, termasuk mahasiswa menyertai usaha meningkatkan kedudukan sosioekonomi masyarakat khususnya di Johor. Mahasiswa yang terpilih diangkat menjadi ejen yang menghubungkan kerajaan negeri dengan masyarakat melalui pendekatan stategi lautan biru nasional (NBOS).

Dijalankan oleh sekumpulan 30 orang mahasiswa pelbagai jurusan pengajian, projek De’Asli USIM membawa pulang hadiah wang tunai RM 1,500, piala iringan dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Khaled Nordin.

Projek De’Asli yang dilaksanakan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Segamat Kechil, Segamat Johor bermula pada Mei tahun lepas ternyata memberi impak dalam aspek meningkatkan minat pendidikan kepada anak-anak orang asli di sana.

Menggunakan modul ‘Fun Learning’ yang dihasilkan sendiri oleh Duta Jauhar USIM, ia telah membantu anak-anak orang asli belajar dengan lebih baik seterusnya meningkatkan peratusan kehadiran ke sekolah dan keputusan pencapaian dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu.

Menurut salah seorang Duta Jauhar USIM, Muhammad Hafiz Jalil, 23 program Duta Jauhar dan projek De’Asli ini secara langsung memberi peluang kepada mahasiswa untuk bersama-sama membangun dan transformasikan masyarakat menggunakan ilmu yang dipelajari di Universiti. Ia juga membentuk nilai positif kepada 30 Duta Jauhar USIM untuk sentiasa komited,berdisiplin dan berdedikasi dalam melaksanakan projek ini.

“Projek ini memberi kesedaran kepada masyarakat orang asli yang terlibat akan kepentingan pendidikan untuk jaminan kehidupan yang lebih baik. Selain melaksanakan program pendidikan, kami turut menjalankan aktiviti-aktiviti komuniti bersama  penduduk kampung dan mengimarahkan surau dengan program kerohanian.”

“Program De’Asli dan aktiviti sampingan ini bukan bersifat one-off tetapi kita laksanakan secara berkala di kampung berkenaan dan kerap supaya impak yang kita mahukan itu berlaku,” ujarnya yang mengambil jurusan Kaunseling di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Selain Anugerah Emas, kumpuan Duta Jauhar USIM turut dinobatkan Anugerah Khas Yayasan Pelajaran Johor (Mahasiswa dan Universiti Paling Komited) dengan menerima wang tunai RM 2,000 bersama piala dan sijil. Anugerah lain turut dirangkul adalah Anugerah Perak (Program Cinta Warga Emas Pagoh), Anugerah Komuniti Terbaik (Masyarakat Orang Asli Segamat Kechil) dan Anugerah Penyelia Terbaik (Puan Siti Nurulhuda Nordin).

Kongres Duta Jauhar 2.0 yang diadakan bermula 24 hingga 27 Februari menghimpunkan seramai 450 mahasiswa anak Johor daripada 22 kumpulan mewakili 18 universiti awam dan swasta seluruh negara seperti Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204