UZBEKISTAN – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat dan merasmikan Seminar Warisan Nabawi Peringkat Antarabangsa Kali Ke-10 (SWAN X) anjuran Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Samarkand, Uzbekistan pada 7 Oktober 2026 baru-baru ini.
Mengangkat tema “Warisan Nabawi dalam Menerajui Era Ketidakstabilan Global”, seminar yang berlangsung pada 6 hingga 7 Oktober 2026 di Imam Bukhari International Scientific Research Center, Uzbekistan itu menghimpunkan sarjana, penyelidik dan akademia dari pelbagai negara bagi membincangkan isu semasa berteraskan panduan al-Quran dan al-Sunnah. Seminar ini membuka ruang pertemuan ilmiah antarabangsa bagi mengetengahkan warisan Nabawi sebagai panduan dalam mendepani cabaran dan ketidakstabilan global.
Sepanjang dua hari SWAN X berlangsung, sebanyak 223 pembentangan daripada sarjana dan penyelidik dalam dan luar negara dengan 54 pembentangan dilaksanakan secara fizikal manakala 169 lagi secara dalam talian. Para pembentang terdiri daripada pelbagai negara antaranya dari Malaysia, Uzbekistan, Arab Saudi, Pakistan, Jordan, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Oman, Qatar, Indonesia, Thailand dan Nigeria.
Penyertaan dari pelbagai negara ini secara tidak langsung memperlihatkan seminar dwi-tahunan anjuran FPQS mendapat pengiktirafan dan mempunyai impak yang signifikan kerana keunikan seminar tersebut yang merentas sempadan dan disiplin ilmu.
Dalam titah ucapannya, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menekankan bahawa Sunnah bukan sekadar warisan sejarah, tetapi sebagai sumber kedua perundangan Islam, Sunnah memberikan panduan praktikal dalam kehidupan manusia serta prinsip-prinsip bagi mencapai keamanan, keadilan dan kesejahteraan sosial.
“Masyarakat hari ini berdepan dengan cabaran yang semakin kompleks, termasuk ketidakstabilan sosial, konflik, jenayah siber, gangguan teknologi serta perkembangan pesat kecerdasan buatan. Realiti ini menuntut kita untuk kembali meneliti manhaj Nabawi serta menterjemahkan hikmah dan prinsipnya kepada tindak balas yang praktikal dalam menghadapi cabaran semasa” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Tokoh pemikir dan pakar hadis terkemuka dari Iraq, Syeikh Basyyar ‘Awwad Ma‘ruf dijemput sebagai pengucaptama dalam SWAN kali ini selain beberapa tokoh agama dan akademik sebagai pembentang jemputan antaranya Mufti Negeri Perlis , Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dan Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle.
Bersempena perasmian SWAN X, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan pertukaran dokumen di antara USIM dan Imam Bukhari International Scientific Research Center yang turut disaksikan oleh Raja Muda Perlis. Melalui MoU tersebut, ia bakal mengukuhkan lagi kerjasama strategik yang sedia terjalin antara kedua-dua belah pihak sebelum ini selain membuka ruang kerjasama baharu yang memberi manfaat dan berimpak tinggi.
SWAN X dianjurkan oleh FPQS USIM dengan kerjasama Imam Bukhari International Scientific Research Center, Uzbekistan serta penganjur bersama Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Penganjuran SWAN X di Imam Bukhari International Scientific Research Center juga dilihat berpotensi memperkukuh jaringan kerjasama akademik antara institusi pengajian tinggi, pusat penyelidikan dan ilmuwan Islam dari pelbagai negara. Selain memperkaya wacana dalam bidang hadis, sirah dan pengajian Sunnah, SWAN X turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh penyelidikan dan penulisan ilmiah yang relevan dengan realiti masyarakat serta cabaran global semasa.
FPQS berharap platform antarabangsa ini dapat memperluas perbincangan mengenai warisan Nabawi sebagai sumber panduan dalam membentuk masyarakat yang lebih stabil, beretika dan berdaya tahan, di samping memperkukuh kedudukan USIM, khususnya FPQS, dalam menerajui wacana al-Quran dan al-Sunnah di peringkat antarabangsa.
Oleh: Mohd Zaini Othman
