NILAI, 13 Ogos 2021- Sambutan Maal Hijrah 1443H peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dianjurkan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting, juga dapat dicapai melalui Facebook USIMTV dan juga saluran Youtube USIMTV.
Bertemakan “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti”, program anjuran Pusat Islam dan Badan Kebajikan Kakitangan (BKK) USIM ini membawakan pengisian rohani maal hijrah yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Aizuddin Abd Aziz, Timbalan Pengarah Institut Sains Islam USIM.
Dalam ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Aizuddin Abd Aziz, beliau mengatakan apabila membicarakan topik Tahun Baru Islam atau Maal Hijrah, dua (2) perkara yang tidak dapat kita lepaskan dalam perbincangan ini iaitu, mengingatkan kita berkenaan perpindahan masa, masa yang telah kita tinggalkan dan masa yang bakal kita lalui sekiranya di izinkan oleh Allah.
“Perpindahan masa ini bukanlah semata mengingatkan kita pada usia yang makin meningkat, akan tetapi mengingatkan kita tentang amanah, amanah usia yang diberikan kepada kita adakah telah digunakan dengan sebenarnya untuk mentaati Allah, sekiranya ia berlaku kita bersyukur atas nikmat tersebut, namun apa yang membimbangkan adalah adakah amalan-amalan secara zahir itu merupakan amalan soleh yang akan diterima oleh allah.
“Dan adakah usia yang telah kita tinggalkan itu adalah usia yang tidak diredhai oleh allah, maka yang tinggal kepada kita adalah dengan memohon keampuan kepada Allah. Inilah anjuran peringatan para ulama’ nyatakan kepada kita agar kita berdoa kepada allah memohon keampuan kepada Allah”.
Manakala dalam ucapan aluan Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, beliau mengajak warga USIM untuk sama-sama menghayati dan mencontohi sifat-sifat terpuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan membuang segala sifat-sifat negatif seperti hasad dengki serta fitnah yang boleh meruntuhkan perpaduan dan kesejahteraan sesama ummat dan memberi kesan yang buruk terutamanya kepada generasi akan datang.
Jelas beliau, dalam era pandemik yang sedang kita hadapi kini, kita hendaklah bersama-sama berganding bahu dan bekerjasama serta saling bantu-membantu dalam meringankan beban yang ditanggung. Selain itu, kita juga hendaklah bersangka baik dan meneruskan ikhtiar bagi membendung penularan virus Covid-19 daripada terus tersebar dan berleluasa.
“Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk nilai-nilai positif serta mahmudah dalam diri setiap muslim dan melahirkan ummah yang sejati bertepatan dengan tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini”.
“Marilah sama-sama kita menghayati tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini dengan penghayatan yang mendalam. Marilah kita mentajdid niat dan membulatkan usaha dan tekad untuk memperbaiki diri serta amalan dalam kehidupan seharian bersesuaian dengan semangat Hijrah untuk mencapai hasrat ‘ummah berkualiti’ yang menjadi tujuan kita semua. Semoga segala usaha murni yang kita lakukan pada tahun ini diredhai oleh Allah SWT dan diganjarkan dengan pahala yang yang berlipat kali ganda daripada-Nya”, ujarnya lagi.
Untuk menonton program ini layari: https://www.facebook.com/USIMTV/videos/340175161107785
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan