Program khas sempena ulangtahun kelima Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) diadakan untuk menunjukkan rasa sayang, penghargaan dan kesyukuran dengan penubuhan serta pencapaian FPBU sehingga kini. Kejayaan FPBU mengorak langkah tahun demi tahun mencerminkan bukan sahaja kejayaan para pelajarnya tetapi juga para pensyarah dan pihak pengurusan fakulti. Program khas ini penting untuk membakar semangat pihak FPBU untuk lebih maju dan berjaya lagi pada tahun-tahun yang akan datang.

Majlis kemuncak Program Khas Sambutan Ulangtahun Kelima FPBU telah diadakan pada hari Ahad 23 Januari 2011 bertempat di Dewan Kuliah Utama FPQS. Program sambutan ulangtahun tersebut diadakan bagi menunjukkan rasa syukur terhadap pencapaian FPBU sehingga berada pada tahap kini dan juga untuk meniup semangat cinta dan sayang kepada FPBU. Program seumpama ini juga adalah penting untuk memupuk cinta dan sayang kepada bahasa, pengajian bahasa serta bidang pendidikan dan juga untuk memberi pendedahan kepada para pelajar berkaitan bidang kerjaya yang boleh diceburi setelah tamat pengajian.

Majlis kemuncak pogram sambutan ulangtahun tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia. Pelbagai pertandingan diperingkat FPBU telah diadakan sebelum acara kemuncak tersebut seperti Kejohanan Sukan Inter-program Piala Pusingan Dekan, Peraduan Bahasa Inggeris “I’ve Got The Brain!” serta Pertandingan Penulisan Bahasa Arab. Pada hari majlis kemuncak program, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda telah dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang setiap kategori pertandingan.

Selain daripada acara penyampaian hadiah, majlis tersebut diserikan lagi dengan persembahan gimik daripada para pelajar FPBU, acara memotong kek ulangtahun FPBU dan juga bacaan sajak oleh wakil pensyarah FPBU.  Setelah selesai majlis perasmian, sesi ‘Bicara kerjaya’ selari bagi para pelajar diadakan. Penceramah-penceramah yang telah diundang ialah En. Che Wan Alias Bin Che Wan Abdullah dari Al-Hijrah Media dan juga En. Ahmad Masrizal Bin Hj. Muhammad dari Institut Aminuddin Baki.

Oleh
Dr Tun Nur Afizah Zainal Ariff
Fakulti Pengajian Bahasa Utama