MANTIN, 9 MAC – Program Semaian Kasih Siswa bersama Orang Asli anjuran Exco Kebajikan dan Kesukarelawanan Nadi Thaqafah berjaya mengeratkan silaturahim antara mahasiswa Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dengan masyarakat di Perkampungan Orang Asli Kampung Belihoi, Mantin.

Menurut pengarah program, Habib Rafiqi Halim, 21, Exco Kebajikan Dan Kesukarelawanan Nadi Thaqafah menganjurkan program ini bertujuan untuk menjalinkan ukhuwah antara mahasiswa dengan orang asli Kampung Belihoi, memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa serta mendedahkan kepentingan bahasa kepada orang Asli.

“Sebagai mahasiswa fakulti bahasa, program ini diadakan bagi mengaplikasi dan mendedahkan kepentingan bahasa khususnya Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris buat masyarakat di sini.

“Program ini bukan hanya sekadar dapat mengukuhkan ikatan kasih sayang antara mahasiswa dan orang asli malah ia juga dapat membuka minda mahasiswa dalam dunia kesukarelawanan,” ujarnya.

Sementara itu, wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan, Muhammad Azhari Radi@Rahadi, 28, menyuarakan pendapatnya agar aktiviti sukarelawanan seperti ini boleh diperbanyakkan lagi untuk masa yang akan datang.

“Saya juga berharap program seperti ini dapat dilaksanakan lagi oleh mahasiswa jika ada masa yang terluang untuk memberi didikan kepada masyarakat orang asli,” tambah beliau lagi.

Tok Batin Kampung Belihoi, Minah Ujang turut berkata bahawa beliau sangat mengalu-alukan kedatangan pelajar universiti untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan masyarakat orang asli dan berharap silaturahim melalui program ini tidak akan terhenti di sini sahaja.

Program ini memberi impak positif kepada mahasiswa FPBU kerana dapat menambah pengalaman berkaitan kesukarelawanan dan menimba ilmu kemasyarakatan serta pengukuhan jati diri.

Seramai 28 orang mahasiswa FPBU dan 30 orang penduduk kampung orang asli mengambil bahagian dalam menjayakan program ini dan agihan barangan sumbangan keperluan harian kepada masyarakat orang asli turut diadakan pada sesi penutup program ini.

Turut hadir dalam sesi penutup program ini, dua orang wakil dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Negeri Sembilan, Kpl Muhd Khaidir Nazri dan L/Kpl SU Moi.

Disediakan oleh:
Nur Syahida Abd Rahman
Nurul Afiqah Abd Razak
Nur Salsyahirah Rosli