NILAI, 11 Ogos 2020 – Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pengurusan Hal Ehwal Islam Di Malaysia anjuran bersama Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dengan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di rasmikan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diadakan bertujuan mengumpul pelbagai maklumat dan penulisan berdasarkan kajian penyelidikan kontemporari yang berkaitan dengan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli dalam ucaptamanya berkata pengurusan hal ehwal Islam (PHEI) telah mengalami pelbagai perubahan struktur organisasi, termasuk penggubalan undang-undang, peningkatan sumber tenaga manusia dan pelbagai dasar-dasar baru diperkenalkan dari semasa ke semasa. Justeru, maklumat ini amat penting dalam agenda untuk memperkasa, menambahbaik, serta mentransformasi pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia bagi menghadapi cabaran dan keperluan semasa.

“Semuanya bertujuan untuk membangun ummah supaya kehidupan menjadi lebih sejahtera. Di samping cabaran revolusi industri 4.0, kita juga berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang mengubah banyak norma-norma lama kepada norma-norma baharu,” ucapnya.

Manakala Naib Canselor USIM, YBhg Prof. Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapan aluannya berkata ilmu pengurusan dalam masyarakat Islam penting kerana segala urusan hal ehwal agama yang menjadi kewajipan muslim tidak akan terlaksana dengan sempurna melainkan dengan terurusnya urusan dan pentabdiran keduniaan di tangan pemimpin atau pemerintah.
Tambahnya lagi, perbincangan dalam seminar amat bertepatan dengan fakulti untuk menjana ilmu-ilmu baharu dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam.

“FKP ini agak unik kerana dalam bidang pengurusan konvensional, kepimpinan biasanya menjadi topik kecil di bawah perbincangan ilmu pengurusan. Di USIM, berdasarkan kefahaman kita kepada Sirah Nabi, kepimpinan adalah perkara utama manakala, pengurusan adalah ‘alat’ untuk mencapai objektif. Pihak FKP seharusnya menjadi penggerak serta peneraju dalam bidang penyelidikan dan perkembangan ilmu berkaitan pengurusan Islam,” ujarnya.

Bersempena seminar juga dibawakan pembentangan plenari oleh Karyawan Tamu FKP, YBhg. Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz bertajuk “Kepentingan, Cabaran dan Masa Depan”. bertujuan mengumpulkan pelbagai maklumat dan penulisan berdasarkan kajian penyelidikan kontemprarari yang berkaitan dengan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia. Maklumat ini amat penting dalam agenda untuk memperkasa, menambahbaik, serta mentransformasi pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia bagi menghadapi cabaran dan keperluan semasa.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan