JEPUN, 29 Januari 2014 – Program khas pengantarabangsaan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang membuka ruang kepada para mahasiswa untuk memberi khidmat kepada masyarakat khususnya komuniti muslim di luar negara yang dinamakan Global Islamic Student Outreach (GISO) melebarkan kembaranya ke negara matahari terbit, Jepun baru-baru ini.

Dalam Program GISO kali ini, Jawatankuasa Kebajikan Siwa/i (JAKSA) Kolej Kediaman 1 USIM telah menyahut cabaran untuk mengadakan program khidmat komuniti di negara yang terkenal rakyatnya dengan budaya membaca dan menepati masa selama 7 hari bermula 23 hingga 29 Januari 2014 lalu. Program yang dinamakan ‘Jaulah Mahabbah ke Bumi Sakura’ telah disertai seramai 16 orang peserta.

Menurut Encik Ahmad Faiz Bin Aziz, Felo Kolej Kediaman 1 yang bertindak selaku pengawai pengiring, pelbagai pengisian diatur bersama masyarakat minoriti Muslim di sana antaranya diskusi dakwah, pertukaran budaya, kelas qasidah, aktiviti bersama anak-anak muslim, perkongsian ilmu serta aktiviti silaturrahim di setiap masjid yang dikunjungi seperti Masjid Tokyo (Camii) dan Masjid Otsuka.

Dalam satu kunjungan ke sebuah tadika Islam yang terletak di Bandar Otsuka yang dinamakan Islamiyyah Kindergarten School, peserta diberi peluang oleh guru-guru tadika untuk turut sama dalam aktiviti pengajaran pendidikan Islam bersama kanak-kanak di situ menggunakan ‘flash-card’. Tadika yang telah dibina sejak 8 tahun yang lalu hasil inisiatif komuniti Islam disana menempatkan kira-kira 20 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak masyarakat Jepun dan sebahagian kecil anak-anak rakyat Malaysia, Pakistan dan Indonesia.

Bagi Siti Raudhah Mohd Azmin selaku Pengarah Program, kunjungan mereka ke Jepun turut menarik perhatian Stesen Fuji TV, stesen telivisyen terkemuka di Jepun apabila mempelawa para peserta untuk menjayakan rakaman program khas untuk tayangan di Fuji TV berkenaa kehidupan sebagai seorang Muslim. Program rakaman berlangsung lancar bertempat di perkarangan Masjid Camii yang terletak di wilayah Shibuya.

Katanya lagi “Setiap lawatan ke negara minoriti Islam pasti ada cabaran terutamanya melibatkan makanan halal. Antara yang paling diingati ialah ketika kami melawati Pulau Odaiba yang terkenal dengan nama Aquacity, kami tidak menjumpai restoran yang menyediakan makanan halal. Mujurlah ada dikalangan peserta yang membawa bekalan makanan yang dibawa dari Malaysia seperti serunding, sambal belacan dan beberapa pek hidangan segera. Makanan ini kami kongsi beramai-ramai sebagai alas perut”

Peserta juga dapat berkenalan dengan beberapa masyarakat non-muslim di Jepun yang amat mencintai nilai-nilai Islam sepanjang program dakwah mereka di sana. Salah seorangnya ialah Okai Hirofumi, seorang penyelidik bagi Organisasi Pengajian Islam di Waseda University. Beliau begitu tertarik dengan Islam dan menjadikan Malaysia sebagai subjek bagi kajiannya. Katanya, beliau akan bertandang ke USIM suatu hari nanti untuk mengkaji dengan lebih mendalam mengenai Islam.

Program GISO ‘Jaulah Mahabbah ke Bumi Sakura’ turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Sembilan, Tourism Malaysia Negeri Sembilan dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Melaka.

Disediakan oleh :

Urusetia Program GISO : ‘Jaulah Mahabbah ke Bumi Sakura’

Dikemaskini oleh :

Mohd Zaini Othman (StraComm)