Kedah, 8 November 2010 – Atas rasa prihatin dan tanggungjawab kepada masyarakat, Smart Team Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah bergabung tenaga menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana banjir di Kedah baru-baru ini.

Seramai 40 orang yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar USIM menyertai program ini. Ia merupakan anjuran Majlis Kesukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM). Selain USIM, lima buah universiti lain juga turut terlibat seperti Universiti Islam Antarabanga Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku urus setia.

Menurut En. Mohd Hazrul Fareeza Harun, Ketua Sukarelawan Smart Team USIM, rombongan dari USIM bertolak pada 8 November 2010 ke UUM dan berada di kedah sehingga 11 November 2010.

“Program kemasyarakatan ini bermula pada 9 November di mana ahli Smart Team USIM dibahagikan kepada 23 buah kumpulan yang bergabung dengan sukarelawan dari UUM untuk membantu penduduk di Taman Tabung Haji, Kubang Pasu. Manakala, satu kumpulan lagi membantu membersihkan surau-surau dan tadika-tadika di taman tersebut”, kata Hazrul.

Hampir 50 buah rumah di Taman Tabung Haji dibersihkan sepanjang dua hari berada di sana. Selain bantuan tenaga, bantuan makanan, tempat tinggal dan juga nasihat turut diberikan kepada manga banjir.

Bagi Saudara Daing Mohd Fadzil, pelajar USIM, penyertaan kali ini sangat bermakna kerana selain dapat menerap nilai kemasyarakatan, pengalaman membantu mangsa banjir juga memberi keinsafan dan kesedaran dalam diri.

“Melihat rumah dan perabot yang dipenuhi lumpur, timbul keinsafan dalam diri betapa bertuah kerana tidak dilanda bencana banjir di tempat sendiri”, tambah saudara Daing.

Manakala, Saudara Mohd Rejab Baharom, kakitangan USIM berkata, ilmu yang telah dipelajari sepanjang menyertai Smart Team USIM dapat diaplikasi kepada mangsa banjir dan sekaligus menyuntik semangat 1Malaysia di kalangan warga Malaysia.

“Pada 12 hingga 13 November ini, Smart Team USIM akan menghantar seramai 30 orang sukarelawan ke Perlis untuk memberi bantuan khusus kepada sekolah-sekolah di sekitar Perlis”, kata Hazrul Fareeza mengakhiri perbualan.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Gambar oleh : Mohd Saepol bin Marpi (06-7988058)