Kuantan, 24 Januari 2011 – Pelancaran Kempen Kami Prihatin “Apakah Dosaku ” menyentuh isu- isu pembuangan bayi di Malaysia bertujuan mendidik warga Malaysia agar merasai keperluan betapa pentingnya sikap masyarakat yang pro aktif dalam menangani gejala negatif ini. Selari dengan matlamat itu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, ASTRO, Karyawan, MAKUM dan Utusan Malaysia telah menganjurkan Pertandingan Sayembara Lagu Puisi Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Malaysia yang telah berlangsung di Universiti Malaysia Pahang pada 22 – 24 januari 2011.

Sebanyak 13 IPT telah terpilih ke final yang menyaksikan Urusetia Kesenian Pelajar, Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia telah berjaya mengatasi saingan hebat IPT lain dengan merangkul Naib Johan. Lebih manis USIM telah terpilih untuk mengadakan persembahan  khas pada Majlis Perasmian Pelancaran Kempen Apa Dosaku yang berlangsung pada 24 Januari 2011 di Kompleks Sukan UMP.

Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Y.A. Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Y.A.B Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir mengiringi acara perasmian ialah Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Puisi yang dipertandingkan merupakan karya saudara Ahmad Faiz Ahmad, pelajar Sarjana FST manakala lagu ciptaan Ismail Ahmed, Pegawai Kebudayaan USIM. Menurut Encik Ismail Ahmed, Pegawai Kebudayaan USIM, persembahan Urusetia Kesenian Pelajar USIM sangat mengesankan dan berupaya menyampaikan mesej dengan cemerlang. Beliau menzahirkan  kesyukuran kepada Allah S.W.T dan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi universiti atas sokongan yang jitu dan padu telah berjaya memotivasikan Urusetia Kesenian Pelajar USIM mengharungi cabaran yang mendatang. Semoga kejayaan membanggakan ini dapat diteruskan lagi dalam pertandingan seterusnya nanti. InsyaAllah.