PULAU PINANG- Mempertahankan warisan budaya zapin Johor merupakan inisiatif bijak bagi mengasah bakat dan kreativiti pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam Fiesta Kebudayaan Zapin Johor (FEKAZ). Festival yang bertemakan kelestarian semarak kebudayaan telah berlangsung dengan penuh meriah bertempat di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia pada 28 April lalu.

Sebanyak 10 IPTA telah menyertai pertandingan zapin di FEKAZ 2012. Selain itu peserta telah didedahkan tentang sejarah zapin di Malaysia di dalam bengkel asas zapin pada hari berikutnya di studio latihan USM yang dikendalikan oleh Yayasan Warisan Johor.

Terdapat tiga kategori anugerah dan hadiah yang ditawarkan kepada setiap penyertaan termasuk Anugerah Khas Juri dan Anugerah Kostum Terbaik. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tuan Haji Jais Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor.

Universiti Teknologi Mara Shah Alam (UiTM) telah dinobatkan sebagai johan manakala naib johan dimenangi oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Sokongan mantap daripada penonton di dalam dewan telah membangkitkan semangat kumpulan Fansuri Urusetia Kesenian Pelajar USIM sehingga berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan.

“Saya tidak menyangka USIM akan mendapat tempat di dalam pertandingan ini kerana kami kesuntukan masa untuk membuat latihan,” kata Mohamad Azmi Khalid, 23, ketua kumpulan Fansuri UKP.

Menurut Azmi lagi, beliau amat berbangga kerana mereka berjaya meletakkan nama USIM di dalam FEKAZ yang pertama kali dianjurkan ini.

Dalam pada itu, Tuan Haji Jais Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor turut menyuarakan harapannya supaya FEKAZ menjadi aktiviti tahunan di peringkat IPTA sekaligus dapat mengeratkan ikatan antara pelajar.

Tambah beliau lagi, FEKAZ secara tidak lansung dapat mempromosikan warisan budaya zapin Johor melalui peringkat IPTA sekaligus mencungkil bakat mahasiswa.

FEKAZ merupakan fiesta julung kalinya anjuran Gabungan Anak Johor (GAJ) seluruh IPTA hasil kolaborasi bersama Ikatan Mahasiswa Mahasiswi Johor (IKMAR) dan USM.

Oleh:
EB Suhaila Said, EB Shikin Awal, EB Nooha Arshad