Program yang menjadi takwim tahunan USIM ini adalah kesinambungan kejayaan edisi pertama dan kedua Kejohanan Debat Bahasa Arab Antara Institut Pengajian Tinggi ASEAN, Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sekali lagi melakar sejarah dengan penganjuran kali ketiga kejohanannya. Ianya berlangsung pada 17 hingga 21 Julai 2008 bertempat di kampus induk USIM di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Sebanyak 19 pasukan yang terdiri daripada 11 IPT negara ASEAN mengambil bahagian dalam penyertaan kejohanan ini.

Sebagai universiti yang menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi utama, penganjuran kali ini diharapkan dapat menjadikan bahasa arab sebagai salah satu bahasa global. Selain itu, kejohanan ini merupakan medium terbaik para mahasiswa untuk mencanaikan kebolehan berkomunikasi terutamanya dalam bahasa arab seterusnya mewujudkan kerjasama intelektual antara IPT ASEAN yang menyertai. Mahasiswa peringkat Diploma dan Ijazah pertama IPT sekitar negara-negara ASEAN yang bakal menyertai kejohanan ini akan memperdebatkan pelbagai isu yang berkaitan dengan hal-hal semasa. Ini dapat meningkatkan pemikiran perserta secara kreatif dan kritis.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kumpulan A sekali lagi menjadi juara dalam Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat IPT ASEAN kali ke-3 anjuran USIM. UIAM mempertaruhkan 2 kumpulan untuk kejohanan debat pada kali ini yang mana kedua-dua pasukan berjaya melayakkan diri ke pertandingan akhir. Pertandingan akhir kejohanan debat pada kali ini menampilkan pasukan UIAM (A) sebagai pembangkang dan pasukan UIAM (B) sebagai pencadang dan memperdebatkan isu “Pengukuhan Ekonomi Antara Negara-Negara ASEAN Adalah Perlu”. Pendebat terbaik telah disandang oleh Saudara Mohd Salman dari pasukan UIAM (A). Johan membawa pulang wang tunai RM5000.00, Piala Pusingan, Piala Iringan dan sijil penghargaan manakala naib johan RM3000.00, Piala Iringan serta sijil penghargaan dan Pendebat Terbaik membawa pulang wang tunai RM1000.00

Kejohanan yang bertemakan “Membudayakan Bahasa Arab Sebagai Bahasa Ilmu dan Diplomasi” ini disempurnakan perasmiannya oleh Y. Bhg. Tan Sri Sheikh Ismail Mohamad, Imam Besar Masjid negara mewakili Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir Y.Bhg Prof. Dato’ Dr. Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor HEP & Alumni USIM.

Daripada :
pro@usim.edu.my