Nilai, 30 April 2009 – Seramai 69 peserta telah dianugerahkan Sijil Khas Kursus Asas Pembantu Antidadah anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Kursus yang berlangsung selama 10 hari bermula 19 hingga 30 April 2009 merupakan kali yang ketujuh dikendalikan oleh USIM.Sebanyak dua anugerah telah diberikan kepada peserta-peserta yang menjalini kursus dengan cemerlang. Anugerah Kepimpinan Pelajar telah diberikan kepada En. Jefri Din bin Nordin dan Puan Norazah bt Parman. Untuk Anugerah Kawad Lelaki dan Perempuan jatuh kepada kepada En. Mohd. Redzuan bin Mohd. Rosli dan Puan Siti fatimah bt Abdullah.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Perkongsian pintar dengan Agensi Antidadah Kebangsaan akan diteruskan lagi bukan sahaja dalam bidang latihan pra penempatan malah dalam latihan-latihan kecekapan yang lain berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.

“Masih terlalu banyak ruang dan peluang yang boleh dilakukan seperti latihan khusus dalam bidang pencegahan, rawatan dan pemulihan, kecekapan kaunseling penagihan, pendekatan agama dalam kepulihan dan rakan sebergantungan”, tambah beliau lagi.

Menyoroti sejarah kerjasama USIM dengan AADK telah terjalin sejak tahun 2005 semasa pembinaan kurikulum Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah (SPADA) yang ditawarkan oleh USIM. Program ini bermatlamat untuk melahirkan kumpulan pakar di kalangan kaunselor/personalia dalam bidang pengurusan, pendidikan, pencegahan, pemulihan dan rawatan dalam alkohol dan dadah di negara ini.

Turut hadir En. Thanasegaran A/L Sinathamby, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Antidadah kebangsaan.

Oleh :
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8028