‘Knowledge Transfer Programme- Halal Flagship’ adalah program geran di bawah Kementerian Pengajian Tinggi bagi membawa ilmu untuk dipraktikkan daripada universiti kepada masyarakat. Program HALJOB adalah usahasama antara USIM, HDC, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Veterinar dari Jabatan Pertanian Sarawak dan Majlis Agama Islam Sarawak bagi menjana pekerjaan Halal (Halal Job) dalam industri halal.

Menggunakan geran ini, satu kursus sembelihan (HALJOB) telah dikendalikan oleh Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM) USIM di Kuching dari 27 Jan hingga 02 Feb 2013, dengan urus setia yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sarjana Fakulti Sains Teknologi, Program Bioteknologi Makanan, USIM dan pembantu tadbir IHRAM.

Menurut Pengarah IHRAM, Prof Madya Dr Alina Abdul Rahim, kursus ini diikuti oleh 30 orang peserta yang terdiri dari anak-anak tempatan serta wakil industri. yang terdiri daripada eksekutif Halal. Ini sekaligus  menyediakan peluang pekerjaan kepada umat Islam, mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing yang boleh membawa masalah sosial. Ini adalah kali kedua Haljob dijalankan. Kali pertama diadakan pada tahun 2011 di Kuching dalam sesi pengenalan, ceramah dan temuduga yang berlangsung selama 2 hari, anjuran program Halal Sarawak.

Antara tenaga pengajar HALJOB ialah Dr Kamaruzaman mantan  Pengarah Veterinar, Malaysia, serta pensyarah-pensyarah USIM seperti Puan Norhayati Rafida (Fakulti Kepimpinan Pengurusan), Dr Ahmad Wifaq dan Uztaz Mahyeddin (Fakulti Syariah Undang2) dan Prof Madya Dr Fauzi (Fakulti Quran Sunnah) dan Ustaz Jabal (HDC). TV Alhijrah turut membuat liputan sepanjang seminggu kursus dijalankan.

Pengisian kursus ini mementingkan aspek syariah, dan teknikal. Peserta turut didedahkan kepada latihan dalam kumpulan diatur supaya aspek integriti dan kerohanian, turut dipraktikkan. Latihan praktikal dijalankan di dua rumah sembelihan.

Setelah menjalani sesi teori dan praktikal, kesemua peserta melalui ujian tauliah dari Majlis Agama Islam Sarawak di samping kehadiran pelbagai syarikat untuk menemuduga peserta-peserta ini.

Majlis Penutup dirasmikan oleh Menteri Muda Hal Ehwal Islam, Ir Datuk Daud Abdul Rahman. Menurut Datuk Daud kerajaan Sarawak akan terus memberikan sokongan kepada USIM untuk mengadakan lagi kusus begini di masa akan datang. Beliau mencadangkan diadakan juga di Miri dan Sibu kerana terdapat 21 buat pusat sembelihan di negeri ini dan mensasarkan seramai 100 orang penyembelih bertauliah di Sarawak.

Hadir sama di majlis penutup ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam Sarawak (MIS) Datu Putin Matzen dan Pengarah JAIS Abang Shamsuddin Abang Seruji.