NILAI, 20 NOV 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menjalin kerjasama bersama pihak industri dalam satu majlis Menandatangani Memorandum  Persefahaman (MoU) bersama Perfect Triangle Sdn Bhd di Galeri Canselori.

Hasrat untuk mengadakan kerjasama ini merupakan hasil daripada perbincangan awal di antara Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) selaku peneraju di USIM dan pihak Perfect Triangle pada awal tahun ini dan beberapa mesyuarat dan aktiviti susulan telah dijalankan mulai awal September yang lalu.

“Penawaran untuk melaksanakan Hands On Programme for Entrepreneurship (HOPE) di USIM merupakan satu peluang dan ruang untuk USIM meluaskan jaringan kerjasama bersama pihak industri dalam membangunkan dan memperkasakan bidang keusahawanan. Program HOPE yang dirangka, dibangunkan dan dilaksanakan sendiri oleh usahawan-usahawan yang memiliki pengalaman industri melebihi 10 tahun di mana sesi pengisian teori dan praktikal disampaikan secara bersama oleh para usahawan, pemimpin-pemimpin industri, pakar-pakar akademik dan pakar latihan sumber manusia”, ujar Dato’ Musa.

“Selain itu, USIM merasakan pelaksanaan HOPE adalah sangat relevan dalam usaha USIM untuk melahirkan lebih ramai graduan usahawan kerana HOPE menekankan komponen praktikal sebanyak 80% dan komponen teori sebanyak 20% dalam sistem penilaiannya. Manakala pencapaian dan prestasi setiap pelajar HOPE diukur menggunakan Sistem Penilaian Prestasi berasaskan industri, menerusi 12 kriteria di dalam Key Result Area (KRA) dan 8 kriteria di dalam Behaviourial Competencies (BC)”.

“Oleh yang demikian, besarlah harapan saya sekiranya pelaksanaan program HOPE bersama Perfect Triangle ini dapat membantu USIM meningkatkan bilangan usahawan dikalangan graduan yang merupakan salah satu daripada perkara atau isu yang dinyatakan di dalam Program Agenda Kritikal yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia sejak tahun 2006 lagi”, ucap Dato’ Musa dalam ucapannya.

Pada majlis menandatangani ini, USIM diwakili oleh Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad Naib Canselor USIM dan Dr. Ummi Salwa Ahmad Bustamam Pengarah PPKS, manakala Perfect Triangle Sdn Bhd diwakili oleh Encik Azman Bidin Pengarah Uurusan dan Encik Shahril Izwan Kamaruddin Pengarah Eksekutif.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204