NILAI, 28 Jan – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melangkah setapak lagi dalam usaha menjadi universiti terkehadapan bagi memartabatkan Sains Islam ke peringkat global melalui hubungan kerjasama dengan Bionas Agropolitan Technology Corridor (BATC) Development Bhd, salah sebuah syarikat terbesar dunia di dalam industri minyak bio yang berpengkalan di California, Amerika Syarikat.

Konsep dan teknologi oleh BIONAS mewujudkan kerjasama ini dimeterai melalui Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA)  di antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan BATC Development Berhad (BATC) bagi penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri Teknologi Nano-Emulsi dan Polarisasi di USIM. Pusat Kecemerlangan ini adalah yang pertama di dunia berteraskan kepada pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan bagi membolehkan Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengeksploitasi teknologi-teknologi baru dan inovatif.

Kerjasama ini menjadikan USIM sebagai rakan kongsi strategik kepada BATC Development Bhd, dan sebagai tempat latihan yang turut akan menyumbang ke arah pemindahan Teknologi Nano-Emulsi dan Teknologi Polarisasi serta melatih ahli-ahli Fakulti terpilih sebagai perintis kepada teknologi tersebut.

“Dalam usaha mengintegrasikan  ilmu Naqli dan Aqli, USIM akan meneroka sumber-sumber semulajadi yang terdapat di Malaysia dan kawasan sekitarnya yang mungkin menjadi bahan alternatif kepada Jatropha Curcas bagi menghasilkan bahan api tambahan dengan menggunakan teknologi ini,” ucap Prof Dato Dr Asma Ismail.

BATC Development Berhad dengan tanda dagangan “BIONAS” adalah sebuah syarikat yang berpangkalan di California merupakan syarikat terbesar dunia di dalam industri minyak bio berasaskan sejenis tanaman, Jatropha Curcas dengan cawangan operasi dan pemasaran di 40 buah Negara. Kesemua 8 jenis produk bio bagi diesel, petrol, heavyfuel, jetfuel dan lubricant telah diluluskan oleh badan dan agensi yang berwibawa termasuk SGS, INTERTEK dan United States Environmental Protection Agency (U.S EPA) dengan penjimatan sehingga 30% bagi penggunaan minyak fosil dan pengurangan pelepasan karbon sehingga 97%.

Teknologi Nano-Emulsi dan Polarisasi yang dibangunkan oleh BIONAS telah menyebabkan berlakunya revolusi di dalam sektor tenaga ke arah penyelesaian isu perubahan iklim yang lebih jitu dan mampan. Teknologi ini juga membolehkan pelbagai jenis tanaman digunakan sebagai bahan mentah bagi menghasilkan minyak bio dan telah menurunkan kos pengeluarannya sehingga 60%. Minyak bio dapat di tawarkan dengan harga yang sama atau lebih rendah dari harga pasaran dunia minyak fosil.

Disediakan oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Pn Syazlyna Jamil