KUANTAN, 20 Mac 2022 – Menyebut nama SISO KOPRATASA, ramai yang mungkin hanya menyangka beliau cuma penulis lirik. Namun dengan membaca naskhah biografi berjudul Siso Kopratasa: Dari Balok ke Pentas Seni’ yang diterbitkan oleh Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan usaha sama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), para pembaca akan menyedari rupanya begitu banyak gelanggang yang diceburinya sehingga layak digelar anak seni berkaliber.

Buku ‘Siso Kopratasa: Dari Balok ke Pentas Seni’ mengandungi lapan bab perceritaan yang membongkar kisah perjalanan anak seni Siso Kopratasa daripada kehidupan awal beliau bermula dari kampung asalnya di Balok, Kuantan sehingga berhijrah ke kota raya Kuala Lumpur. Penglibatan dalam bidang teater, filem, penulisan skrip, pengarah, khidmat bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan sumbangan besar dalam penulisan lirik lagu patriotik terkenal tanah air iaitu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia.

Buku biografi ini merupakan penghargaan atas sumbangan tokoh Syed Indera Syed Omar atau lebih sinonim dengan Siso Kopratasa atas pengalaman beliau yang panjang sebagai penggiat seni; 36 tahun bergelar penulis lirik, 30 tahun penulis skrip, 25 tahun sebagai penata vokal dan 20 tahun sebagai ahli panel persembahan dan pengarah lakon.

Lebih menarik, penerbitan buku ini juga merupakan hasil sentuhan alumni USIM apabila ia ditulis oleh Ikon Seni USIM yang merupakan anak jati Pahang, Wan Nor Zadilah Wan Mohamad atau nama penanya Wanza Mohamad manakala kerja-kerja kreatif seperti reka bentuk kulit buku, reka  letak kandungan dan suntingan oleh Muhammad Alif Omar Abdul Jalil. Kedua-kedua mereka merupakan ahli Grup USIM Art Prosumer (GUAP).

Menjadi naskhah buku yang sesuai dijadikan inspirasi kepada generasi muda yang menanam cita-cita untuk menceburi bidang seni, buku ini telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.

Dalam ucapannya, beliau menekankan penghasilan karya kreatif adalah salah satu alternatif untuk menggalakan masyarakat menambah minat membaca keraa ia sangat penting dalam mendidik masyarakat dan membina peradaban dan ketamadun bangsa. “Dengan penulisan ini juga tema berkaitan semangat cintakan tanah air, jati diri bangsa pasti dapat ditingkatkan dan menyuburkan benih-benih perpaduan dalam kalangan masyarakat  sebagai membentuk kukuh ikatan Keluarga Malaysia”. Ujarnya

Selain itu, hadir sama ke majlis mewakili pengurusan universiti, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata, penerbitan buku ini selari dengan peranan USIM sebagai sebuah pusat pengajian yang menghimpunkan maklumat penting untuk diterbitkan dan didokumentasikan kerana ianya merupakan maklumat atau ilmu tersirat (tacit knowledge) yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan inspirasi kepada masyarakat luar.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata “Peranan penggiat, pentadbir dan pengkaji seni saling berkaitan. Melalui penghasilan buku biografi ini peranan, sumbangan ketiga-tiga pihak memperlihatkan bahawa pentingnya gabungan generasi lama seperti Siso Kopratasa dan alumni USIM sebagai generasi baharu menghasilkan produk dengan pemikiran baharu yang mereka miliki”.

Turut hadir dalam majlis pelancaran buku ini adalah pengurusan universiti, Pengarah Urusan ITMB, Encik Sakri Abdullah, ahli kumpulan Kopratasa iaitu Usop, Sani Sudin, dan S.Amin Shahab serta penggiat seni Pahang dan tanah air.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan