NILAI, 27 Mac 2020 – Pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menghasilkan cecair hand sanitiser bagi memenuhi keperluan kakitangan dan pelajar USIM sebagai langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko penularan virus dan bakteria berbahaya terutamanya semasa penularan Covid-19.
Pensyarah USIM yang bergerak di bawah Faculty Science and Technology Laboratory in a Box (FaST LaB) menyatakan usaha mereka menghasilkan hand sanitiser bukan untuk tujuan komersil tetapi untuk membantu warga kampus kerana ia diberikan percuma disamping menyedari pada masa kini terdapat kesukaran untuk mendapatkan bekalan hand sanitiser di pasaran. Produk ini dihasilkan mengikut piawaian World Health Organization (WHO) dan turut melalui ujian dalam makmal penyelidikan USIM untuk memastikan keberkesanan produk ini terhadap mikroorganisma.
Ketua FaST LaB, Dr. Muhammad Zamir Othman yang merupakan pensyarah kanan Program Teknologi Kimia Industri FST menyatakan usaha penghasilan kumpulan pertama hand sanitiser ini telah bermula pada 16 Mac lalu secara berperingkat dan sebanyak 70 liter hand sanitiser berjaya dihasilkan. Ia kemudiannya di botolkan dalam botol mini berkapasiti 60 ml supaya lebih mudah di bawa apabila perlu berada di luar.
“Proses pembuatan hand sanitiser ini melibatkan beberapa penggunaan bahan kimia seperti Isopropanol, Glycerol, Hidrogen Peroksida dan air. Melalui pengawalan keselamatan yang tinggi di dalam makmal, proses akhirnya yang amat penting bagi kami iaitu untuk memastikan campuran bahan-bahan ini menghasilkan kepekatan bahan aktif pada paras 75% Isopropanol. Kos bagi setiap botol hand sanitiser yang dihasilkan ini adalah tidak melebihi RM3.50 dan projek ini juga sebenarnya turut mendokong aspirasi USIM dalam konteks prosumerism”
“Sebanyak 300 botol mini hand sanitiser 60ml dapat disiapkan dalam produksi kumpulan pertama dan telah siap diedarkan kepada warga USIM di kampus induknya di Nilai, Kampus USIM Pandan Indah dan para pelajar yang berada Kolej Kediaman dan yang tinggal di luar kampus. Malah hand sanitiser ini juga dijadikan bahan isian semula dalam botol sedia ada di Pusat Kesihatan Universiti dan Klinik Pakar Universiti bagi memastikan bekalan hand sanitiser sentiasa mencukupi” ujar Dr Muhammad Zamir.
Produk ini turut dibekalkan ke jabatan-jabatan kritikal USIM yang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini antaranya Jabatan Keselamatan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti dan Pusat Komunikasi Strategik. Mereka turut menyumbangkannya untuk komuniti setempat yang memerlukan dan terkini kepada Balai Polis Nilai untuk kegunaan anggotanya yang terlibat dalam kawalan dan rondaan sepanjang tempoh PKP di sekitar bandar ini.
Kekangan yang dihadapi kini adalah untuk mendapatkan bahan mentah yang mencukupi dalam tempoh PKP ini bagi memenuhi permintaan tinggi yang diterima tetapi perkara itu sedang diatasi dengan pihak pembekal kerana mereka mensasarkan pengeluaran sebanyak 100 liter selepas ini.
Usaha Dr. Muhammad Zamir yang mendapat sokongan sepenuhnya Pengurusan Universiti ini turut dijayakan bersama oleh Dr. Syaza Azhari, Encik Mohd Nazarali Ali, Encik Muhammad Izzat Redzuwan, Cik Siti Nazurah Md Jusoh, Cik Sharifah Shahirah Syed Shaharuddin dan Cik Anis Suraya Mohamed Rasdi. Turut membantu diperingkat awal dua orang siswa iaitu Muhammad Luqman Asnawar (USIM) dan Tengku Nur Anis Fitri Bt Tengku Yahaya Anis (UiTM Perlis).
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan