PUTRAJAYA, 17 Januari 2023 – Dalam usaha untuk mengeratkan silaturrahim dan kerjasama strategik bersama Karyawan Seni, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan satu sesi ramah mesra antara Karyawan Seni USIM bersama Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan penggiat seni tanah air bertempat di Kelab Tasik Putrajaya baru-baru. Pertemuan ringkas penuh bermakna diadakan untuk mendapat pandangan kreatif dan kerjasama dalam program pembangunan seni berbudaya di USIM.

Dihadiri oleh Dato’ Nasharudin Elias (Nash), Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa), Fauzi Marzuki, Muhamad Razin Che Mud dan juga Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzaman. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Adnan Mohamed Yusoff dan Pengarah Pusat Kebudayaan Encik Ismail Ahmed.

Prof. Dato’ Ts. Dr.Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata, universiti sentiasa menyokong usaha Pusat Kebudayaan dalam mengetengahkan  seni berbudaya yang mencakupi elemen integrasi keseimbangan sebagai insan, penerapan nilai-nilai murni dalam berkarya, menepati keperluan patuh syariah yang akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat. Kolaborasi warga universiti bersama penglibatan pihak industri seni wajar dan signifikan sebagai penghubung dalam memperkukuhkan jaringan bersama komuniti dan masyarakat luar.

“Sebagai universiti yang berintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli, USIM menghargai bakat penggiat seni tanah air dengan menjadikan mereka ini sebagai rujukan dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Pelbagai program yang berbentuk pemindahan ilmu (knowledge transfer) akan direncanakan agar semua mahasiswa mahupun staf mendapat pengalaman dan perkongsian kepakaran yang mungkin sukar diperolehi di tempat lain”, ujarnya.

Beliau menambah lagi, ini selaras dengan falsafah Pusat Kebudayaan USIM itu sendiri iaitu menjulang mesej Islam melalui pendekatan Seni Berbudaya yang bersifat kontemporari dan memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan persembahan daripada Ikon Seni USIM yang sedang meningkat naik dan kini memilih kerjaya sepenuh masa sebagai komposer dan penulis lirik lagu-lagu nasyid.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan