NILAI, 20 Mac 2020 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil pendekatan proaktif dengan melancarkan Ops Bantuan Agihan Makanan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Usaha ini dijalankan oleh Pusat Wakaf dan Zakat USIM dengan kerjasama Pusat Perumahan Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar serta JAKSA dengan mengagihkan kepada seramai 2518 pelajar telah pun bermula semalam 19 Mac 2020.

Tidak ketinggalan, bagi pelajar yang menetap di luar kampus atau di rumah sewa inisiatif tersebut diteruskan melalui pemberian bahan makanan asas seperti beras, sardin, telur sepapan serta lain-lain keperluan yang dianggarkan sebanyak 200 bungkus.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, perkembangan semasa USIM dalam tempoh perintah kawalan pergerakan adalah menyediakan Bilik Gerakan Covid-19 bertempat di Pusat Kesihatan Universiti (PKU USIM) dan Kolej-kolej Kediaman Pelajar yang dibuka beroperasi pada jam 9 pagi hingga 9 malam untuk membantu dan menyelaraskan pergerakan dan maklumat kepada pelajar.

Ujarnya lagi, pemeriksaan dan saringan kesihatan awal kepada semua pelajar di setiap Kolej-kolej Kediaman USIM dibuat dan turut direkodkan bagi pelajar yang membuat pilihan untuk pulang ke kampung halaman.

“Pihak USIM menyediakan ‘hand sanitizer’ dan ‘face mask’ kepada pelajar yang berurusan di kaunter setiap Kolej Kediaman. ‘Mini hand sanitizer’ yang dihasilkan sendiri oleh pasukan penyelidikan FastLAB Fakulti Sains dan Teknologi USIM  telah dibekalkan kepada pelajar-pelajar yang membuat pilihan untuk pulang dengan menggunakan perkhidmatan bas catar. Bas tersebut dipastikan telah dinyahkuman terlebih dahulu. Kemudahan penginapan disediakan kepada pelajar-pelajar yang ingin menetap di Kolej Kediaman termasuk pelajar antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Danial, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM berkata, inisiatif yang dilakukan ini mengharapkan supaya para pelajar dapat memanfaatkan masa dirumah tanpa perlu keluar dalam jangka masa yang diperintahkan oleh kerajaan.

Bagi menjaga kebajikan pelajar kolej kediaman, kemudahan kafetaria dan kedai serbaguna di kolej kediaman USIM dibuka yang boleh dibeli menggunakan konsep ‘take away’ dan pelajar tidak dibenarkan untuk ‘dine-in’.

Turut terlibat adalah Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM dengan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM yang menyediakan Kaunselor-Kaunselor Bertauliah untuk program Tele-Kaunseling untuk memberi ruang kepada pelajar yang mempunyai isu yang ingin dibincangkan atau permasalahan yang sedang dihadapi.

Pendekatan yang diambil oleh USIM membuat hebahan kepada warga USIM sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan adalah melalui medium media sosial dan hebahan rasmi USIM dari semasa ke semasa. Turut dibuka HOTLINE BILIK GERAKAN COVID-19 USIM di talian 06-798 6121.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan