NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh agenda kelestarian kewangan dan pembangunan ummah apabila mempelopori model pengurusan tanah wakaf melalui pelaksanaan Mutawalli Khas, sekali gus membuka lembaran baharu dalam tadbir urus wakaf institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Inisiatif ini direalisasikan menerusi penerimaan sebidang tanah wakaf seluas empat ekar di Kampung Som, Jerantut, Pahang. Tanah tersebut telah didaftarkan secara rasmi sebagai harta wakaf di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pada 28 November 2025. USIM pula menjalankan peranan sebagai Mutawalli Khas bagi mengurus dan mentadbir pembangunan tanah wakaf tersebut mengikut syarat serta peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Menurut Pendaftar USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, model ini memperlihatkan pembahagian peranan yang jelas antara pemegang amanah tunggal harta wakaf dengan institusi penerima manfaat.
“Pendekatan ini menjadikan USIM antara universiti terawal yang membangunkan model tadbir urus wakaf yang lebih sistematik melalui penubuhan Jawatankuasa Tadbir Wakaf (JKTW). Jawatankuasa ini berperanan menyelaras perancangan, pembangunan, pemantauan serta agihan manfaat wakaf. Struktur ini turut membolehkan pelantikan operator projek (Qayyim) bagi memastikan pembangunan tanah wakaf dilaksanakan secara profesional, mampan dan mematuhi prinsip Syariah.”
Beliau berkata, berdasarkan perancangan universiti, tanah wakaf tersebut mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai Living Hub yang merangkumi pusat pendidikan dan pembangunan ilmuan, hab penyelidikan serta inovasi agro-teknologi, pusat pembangunan komuniti, pusat latihan, pusat khidmat masyarakat luar bandar dan eko-pelancongan berasaskan komuniti.
“Kedudukannya yang strategik di hadapan jalan utama memberikan nilai pembangunan yang tinggi serta berpotensi memberi manfaat bukan sahaja kepada warga USIM, malah kepada masyarakat setempat dan negara.”
Tambah beliau, selaras dengan hasrat pewakaf, manfaat yang dijana daripada pembangunan tanah wakaf ini akan disalurkan semula bagi menyokong agenda pendidikan, penyelidikan, pembangunan ilmu, kebajikan pelajar, pembangunan fasiliti pengajaran dan pembelajaran serta program pembangunan komuniti.
“Pendekatan ini membolehkan aset wakaf terus berkembang sebagai sumber ekonomi yang lestari tanpa menjejaskan tujuan asal pewakafan.”
Menurut beliau lagi, penubuhan model Mutawalli Khas ini turut memperkukuh peranan Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM sebagai peneraju tadbir urus wakaf universiti melalui pengurusan yang berintegriti, telus dan berimpak tinggi.
“Ia selaras dengan aspirasi USIM untuk memperkasa instrumen wakaf sebagai mekanisme pembiayaan pendidikan tinggi Islam yang mampan, sekali gus menjadi model rujukan kepada institusi pengajian tinggi lain di Malaysia.”
Melalui pendekatan inovatif ini, USIM bukan sahaja mengoptimumkan potensi aset wakaf, malah membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi mampu menjadi peneraju dalam membangunkan ekosistem wakaf moden yang menggabungkan prinsip Syariah, tadbir urus korporat dan pembangunan sosioekonomi demi kesejahteraan ummah.
