NILAI, 1 NOV 2016 –  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pejabat Perhubungan Alumni, Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama bersama syarikat runcit dan borong terbesar di Malaysia iaitu Mydin yang berlangsung di Pejabat Mydin Subang Jaya.

Mydin Mohamed Holdings Berhad atau biasanya dikenali sebagai MYDIN berpangkalan di Lot No. 675 & 676 Persiaran Subang Permai, USJ 1, 46500 Subang Jaya, Selangor ini mempunyai 107 premis di seluruh negara. Jumlah ini termasuklah 23 pasaraya besar, 16 emporium, 3 bazar, 49 pasaraya mini, 11 kedai serbaneka dan 5 francais.

Untuk tujuan majlis menandatangani MOA ini, USIM dengan kerjasama MYDIN Mohamed Holdings Berhad akan melancarkan kad Alumni USIM yang telah ditambahbaik kegunaan dan kelebihannya termasuklah tawaran harga diskaun yang akan diberikan kepada Alumni USIM yang  membeli-belah di semua rangkaian pasaraya MYDIN.

Menurut Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Musa Ahmad kumpulan pertama yang akan memperolehi kad Alumni ini adalah bakal graduan yang akan diijazahkan pada Majlis Konvokesyen USIM ke-14 pada 19-21 November ini sementara Alumni yang telah diijazahkan pada tahun-tahun sebelumnya, akan turut menikmati kelebihan ini melalui pengagihan kad tersebut secara berperingkat-peringkat.

“Pemegang kad Alumni ini juga secara tidak langsung telah mempromosikan USIM di luar kampus dengan menggunakan kad tersebut ketika membeli-belah di MYDIN sekaligus membuka mata masyarakat tentang USIM. Tempoh perjanjian adalah selama 3 tahun dan saya amat berbesar hati sekiranya perjanjian ini akan berterusan kerana ia dilihat dapat memberikan manfaat serta impak yang besar kepada kedua-dua belah pihak, selain Memorandum Perjanjian yang dimeterai ini akan menjadi platform untuk kedua-dua pihak meneroka bidang dan jalinan yang lebih luas pada masa akan datang seperti penempatan pelajar untuk Latihan Industri sekaligus mendatangkan kelebihan kepada organisasi masing-masing serta Alumni USIM”, tambah Dato Musa.

Semoga kerjasama yang terjalin ini akan menjadi titik permulaan untuk meneroka ruang kerjasama yang lebih luas pada masa akan datang yang manfaatnya tidak terhad hanya untuk USIM dan MYDIN tetapi ummah amnya. Diharapkan juga dengan pengeluaran Kad Alumni USIM, para alumni akan sentiasa mengingati alma mater mereka, tempat yang pernah mendidik mereka sehingga menjadi seperti diri mereka hari ini. Dengan hubungan baik yang terbentuk, diharapkan para alumni dapat memberikan sumbangan idea, material, kepakaran dan sebagainya yang boleh memajukan kampus barakah yang tercinta ini.

USIM diwakili oleh Naib Canselor, Prof Dato Dr Musa Ahmad, manakala Syarikat Mydin diwakili oleh Encik Malik bin Dato’ Murad Ali (IT Director MYDIN). Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Dr. Nisar Mohammad Ahmad Pengurus Pejabat Perhubungan Alumni.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204