NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan menubuhkan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) secara Kursus Kokurikulum Berkredit di Universiti ini dan seterusnya menjadi perintis serta model penubuhan BSKN ini di IPT-IPT lain.

Menurut Penyelaras Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Dr. Mohd Faisal Ibrahim, beberapa siri pertemuan telah diadakan bersama pihak JLKN bagi membincangkan tentang penubuhan BSKN ini dan perkara-perkara penting berkaitan penubuhan dan pelaksanaan BSKN sebgai kursus kokurikulum berkredit telah berjaya dimuktamadkan.

“USIM akan memeterai sebuah memorandum perjanjian (MoA) bersama pihak JLKN dalam masa terdekat ini dan dijangkakan penawaran kursus BSKN ini akan dibuka kepada para pelajar  pada sesi akademik akan datang iaitu pada September ini “, jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai kaedah pengambilan dan pemilihan pelajar, Dr. Faisal memberitahu Kursus Kokurikulum Berkredit BSKN ini adalah khusus untuk bekas-bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

“Para pelajar akan dibimbing oleh tenaga-tenaga pengajar dan jurulatih bertauliah yang akan disediakan oleh pihak JLKN sendiri manakala proses pembelajaran dan pengajaran akan dijalankan dalam bentuk teori dan praktikal serta bimbingan”

Kursus Kokurikulum Berkredit BSKN ini akan dijalankan secara mingguan dengan pelaksanaan aktiviti Kokurikulum diperingkat IPT manakala program latihan luar selama tiga hari dua malam pula akan diadakan pada setiap semester.

Dalam pada itu, Program Kesukarelawanan yang memberikan impak berkesan akan turut diadakan pada setiap semester dengan dikelolakan sepenuhnya oleh Sukarelawan BSKN sendiri sebagai projek akhir mereka.

“kursus Kokurikulum BSKN IPT ini akan dilakasanakan selama empat semester pengajian dengan diberikan jumlah nilai 4 jam kredit  iaitu satu jam kredit bagi setiap semester. Apabila tamat nanti, mereka ini akan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda BSKN IPT”, tambah beliau lagi.

BSKN telah dilancarkan pada 4 Februari 2012 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia di Padang Awam Bandar Dara Chini, Pahang. Dengan misi untuk memberi khidmat sukarela kepada masyarakat dengan berkesan, penubuhan Briged ini juga diharap dapat membantu meluaskan capaian objektif PLKN di kalangan golongan dewasa khususnya berkenaan perpaduan kaum dan semangat kesukarelaan.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa