NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya dalam menyokong agenda digital negara apabila dipilih buat tahun kedua berturut-turut sebagai hos Malaysian Top Coders 2026, pertandingan pengaturcaraan berprestij yang menghimpunkan bakat muda dalam bidang teknologi, sains komputer dan penyelesaian masalah digital.
Program berimpak tinggi anjuran Thulija Technologies Sdn. Bhd. dan Data Science Association (DSA) ini mendapat endorsmen rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta sokongan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan TalentCorp.
Pertandingan yang berlangsung pada 21 Jun 2026 baru-baru ini di Makmal Komputer, Perpustakaan USIM ini terbuka kepada pelajar USIM dan peserta luar, sekali gus memberi ruang kepada lebih ramai bakat muda untuk menguji kemahiran pengaturcaraan dalam suasana kompetitif dan berorientasikan industri.
Menurut Eksekutif Projek Malaysian Top Coders 2026, Syauki Azman, kejohanan edisi ketiga ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila penganjur menyasarkan penyertaan sehingga 60 universiti di seluruh Malaysia, berbanding hanya 15 universiti pada tahun pertama. Setakat ini, sebanyak 40 institusi telah mengesahkan penyertaan dengan kira-kira 5,000 pelajar dilatih melalui siri bengkel intensif.
Bagi saingan peringkat USIM, sebanyak 16 kumpulan mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (FST) menyertai pertandingan ini dengan menguji kecekapan menyelesaikan lapan cabaran kod Python dalam tempoh 2.5 jam menggunakan platform simulasi eBox Virtual Code Lab.
Pertandingan tersebut menyaksikan kumpulan yang dianggotai oleh Tahar dan Zaidi, pelajar Tahun Satu program Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat – ISA), dinobatkan sebagai pemenang bagi saingan peringkat USIM. Kejayaan tersebut membuktikan potensi besar pelajar muda USIM dalam bidang pengaturcaraan, pemikiran komputasional dan penyelesaian cabaran teknologi secara kreatif.
Ketua Program Sarjana Muda Sains Komputer Keselamatan dan Jaminan Maklumat (ISA), Dr. Nur Hafiza Zakaria, menyifatkan program ini sebagai medan terbaik untuk menterjemahkan teori yang dipelajari di bilik kuliah kepada praktikaliti dunia sebenar, khususnya dalam mengukuhkan penguasaan asas pengaturcaraan dan penyelesaian masalah secara teknikal.
Kelancaran penganjuran di USIM turut menyerlahkan keupayaan kepimpinan mahasiswa apabila program dikendalikan secara berdikari oleh jawatankuasa pelajar Information Security & Assurance Committee (ISAC). Komitmen pelajar dalam menyelaras perjalanan program secara teratur turut menerima pujian daripada pihak penganjur.
Selain menjadi platform pertandingan, Malaysian Top Coders turut membuka peluang strategik kepada mahasiswa untuk meneroka penempatan latihan industri dan laluan kerjaya bersama syarikat teknologi. Penganjur juga merancang memperluas akses kejohanan ini ke peringkat kolej dan politeknik, selain berhasrat membawa pemenang kebangsaan mewakili Malaysia ke pertandingan antarabangsa pada masa hadapan.
Penganjuran Malaysian Top Coders 2026 di USIM membuktikan komitmen universiti dalam memperkasa bakat digital, menghubungkan mahasiswa dengan ekosistem industri teknologi serta melahirkan graduan yang berdaya saing dalam landskap ekonomi digital negara.
Oleh: Omar Mukhtar Hishamuddin
