NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus komited dalam memperkasa literasi digital generasi muda menerusi penganjuran program “Empowering Digital Footprint Awareness through Ethical AI-Cyber Hasanat”. Libatsama masyarakat tersebut telah diadakan pada 11 Julai 2026 di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu dan telah dirasmikan oleh Al-Fadzil Ustaz Abd Rahman bin Abidin, pengetua SMAP Labu.
Program bertemakan “Guard Your Footprint, Protect Your Identity” ini digerakkan oleh 37 orang mahasiswa Tahun Dua Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) dari Fakulti Sains dan Teknologi. Ia dilaksanakan atas inisiatif Service-Learning Malaysia-University Society (SULAM) di bawah kursus Masyarakat Digital Inklusif dengan bimbingan Prof. Madya Ts. Dr. Sakinah Ali Pitchay menggunakan inovasi produk papan permainan AI-Secure Cybercitizenship (AI-SET) yang menekankan keselamatan siber dan etika AI.
Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti interaktif seperti ceramah kesedaran, kuiz, permainan pendidikan serta aktiviti berkumpulan yang dirancang untuk meningkatkan pemahaman mereka terhadap konsep AI beretika dan keselamatan siber dengan lebih berkesan. Perkongsian tentang perisian hasad dengki (malware) seperti phishing, trojan dan scam turut diperkenalkan serta diterapkan dalam eksplorasi keselamatan siber.
Peserta turut didedahkan kepada tujuh Prinsip Etika AI yang digariskan dalam Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE), merangkumi keadilan, kebolehpercayaan dan keselamatan, privasi dan keselamatan data, keterangkuman, ketelusan, akauntabiliti serta kesejahteraan manusia dan alam sekitar. Pendedahan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia untuk memperkasakan pembangunan dan penggunaan AI yang selamat, beretika, bertanggungjawab serta memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Maklum balas yang diterima daripada peserta menunjukkan peningkatan tahap kesedaran terhadap kepentingan menjaga privasi data, mengenal pasti ancaman dalam talian serta mengamalkan penggunaan teknologi secara selamat dan beretika. Hasil ini membuktikan bahawa objektif program dalam membentuk masyarakat yang lebih celik digital berjaya dicapai.
Selain memberi manfaat kepada komuniti sekolah, program ini turut membantu melahirkan mahasiswa USIM yang memiliki kemahiran teknikal, nilai kepimpinan, semangat kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial. Penglibatan mereka sebagai fasilitator membuktikan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
Secara keseluruhannya, program AI-Cyber Hasanat menjadi bukti komitmen USIM dalam memperkasakan pendidikan berkaitan AI beretika dan keselamatan siber di peringkat komuniti. Program ini diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang lebih berpengetahuan, beretika serta bersedia menghadapi cabaran dunia digital pada masa hadapan.
Program ini melibatkan 120 orang pelajar Tingkatan 4 dengan fokus utama untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengurus jejak digital secara beretika dan bertanggungjawab. Melalui penganjuran program sebegini, USIM berhasrat melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, malah berakhlak, berintegriti dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran era digital yang semakin kompleks.
Program ini turut menerima peruntukan daripada Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM bagi menyokong pelaksanaan aktiviti yang dianjurkan oleh pelajar, di samping mendapat sokongan daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST), USIM.
