NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh penyelidikan berkaitan tokoh ulama Nusantara menerusi kajian oleh Kumpulan Penyelidikan (KUP) Kearifan Nusantara, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), terhadap pemikiran, karya serta sumbangan Syeikh Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin al-Linggi.

Kajian itu memberi tumpuan kepada pencarian dan pengumpulan sumber primer serta sekunder, pendokumentasian bahan arkib, manuskrip dan koleksi khas, selain penyediaan strategi penyelidikan yang lebih menyeluruh berkaitan tokoh yang turut dikenali sebagai antara khalifah utama Tarekat Ahmadiyah yang berkembang luas di Nusantara.

Ketua KUP Kearifan Nusantara, Prof. Madya Dr. Syed Najihuddin Syed Hassan berkata, Syeikh Haji Muhammad Said merupakan ulama yang memberikan sumbangan besar dalam bidang pendidikan Islam, dakwah, tasawuf, budaya Melayu dan pembangunan masyarakat, khususnya di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, sumbangan tokoh berkenaan turut merangkumi bidang fatwa, pentadbiran dan perundangan Islam.

“Pengaruh keilmuan beliau bukan sahaja berkembang di Negeri Sembilan, malah turut meliputi Melaka, Selangor, Johor dan beberapa wilayah lain di Alam Melayu.

“Karya serta pengajaran beliau turut menjadi rujukan penting dalam perkembangan pendidikan Islam tradisional dan pembentukan identiti Melayu-Islam,” katanya.

Beliau berkata, Perpustakaan USIM memainkan peranan penting dalam menyokong penyelidikan berkenaan menerusi penyediaan akses kepada sumber rujukan, bahan sejarah dan koleksi khas, selain kepakaran dalam pengurusan maklumat.

“Hasil perbincangan bersama Perpustakaan USIM menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh jaringan kerjasama menerusi perkongsian kepakaran, sumber dan sokongan penyelidikan bagi menghasilkan kajian yang lebih komprehensif mengenai Syeikh Muhammad Said,” katanya.

Menurutnya, kumpulan penyelidik turut merancang untuk melaksanakan kajian lapangan dalam masa terdekat di beberapa lokasi yang mempunyai hubungan sejarah dengan kehidupan, pendidikan dan kegiatan dakwah tokoh berkenaan.

Beliau berkata, pasukan penyelidik daripada KUP Kearifan Nusantara telah menjalankan tinjauan awal bagi menilai potensi dan daya maju penyelidikan menerusi lawatan lapangan serta pertemuan bersama waris terdekat Syeikh Muhammad Said.

Kajian lapangan itu akan merangkumi sesi temu bual bersama waris, tokoh masyarakat dan pengkaji sejarah tempatan, selain lawatan ke institusi serta lokasi bersejarah bagi memperoleh data empirikal dan maklumat yang lebih menyeluruh.

Penyelidikan tersebut dijangka menghasilkan dokumentasi ilmiah yang lebih sistematik mengenai pemikiran, karya, pendekatan dakwah dan jaringan keilmuan Syeikh Haji Muhammad Said.

Usaha itu sekali gus dapat memperkukuh pemeliharaan khazanah warisan intelektual Islam Nusantara agar dapat dimanfaatkan oleh ahli akademik, penyelidik, pelajar dan masyarakat umum.

“Dapatan kajian ini turut dijangka menjadi asas kepada penganjuran Wacana Keilmuan dan Budaya Nusantara bertajuk ‘Syeikh Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin al-Linggi: Budaya dan Keilmuan’ pada September 2026.

“Wacana berkenaan bakal menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, tokoh masyarakat dan pihak berkepentingan bagi membincangkan sumbangan serta legasi keilmuan ulama tersebut dalam perkembangan Islam dan budaya Melayu di Alam Nusantara,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen USIM untuk menjadi antara peneraju dalam penyelidikan, pendokumentasian dan pemerkasaan warisan ilmu Islam Nusantara.

Kerjasama antara KUP Kearifan Nusantara dengan Perpustakaan USIM turut mencerminkan pendekatan bersepadu universiti dalam memanfaatkan kepakaran akademik, sumber perpustakaan dan penyelidikan lapangan bagi memelihara khazanah keilmuan negara untuk generasi akan datang.