NILAI – Dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat komuniti dan platform belia yang memberi tumpuan kepada pembangunan diri, pendidikan, kepimpinan serta aktiviti kemasyarakatan, lebih 80 pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjayakan Program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang berlangsung di Perpustakaan USIM pada 4 Julai 2026 baru-baru ini.

Bertemakan InspireINaQ #TheShababHub, program ini turut melibatkan sembilan mahasiswa serta dua pensyarah dari Institut Agama Islam Negeri Sultan Amai Gorontalo, Indonesia.

Sepanjang pelaksanaan program, seramai 521 orang komuniti daripada pelbagai latar belakang telah menerima manfaat melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh sembilan kumpulan pelajar.

Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, pelaksanaan program ini membuktikan komitmen pelajar dalam menghubungkan ilmu yang dipelajari di universiti dengan keperluan sebenar masyarakat.

“Saya yakin implementasi InspireINaQ #TheShababHub adalah untuk menjadikan masjid sebagai sebuah pusat komuniti atau platform belia yang memberi tumpuan kepada pembangunan diri, pendidikan, kepimpinan, dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Menurut beliau, konsep TheShababHub memperlihatkan bagaimana masjid boleh berperanan lebih luas sebagai pusat aktiviti komuniti, khususnya dalam membangunkan potensi belia melalui aktiviti sukarelawan, kebajikan, khidmat masyarakat serta pembinaan jaringan positif.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan tinggi pada masa kini tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik kuliah semata-mata.

“Dalam dunia yang semakin mencabar dan kompleks, pendidikan tinggi tidak lagi hanya berfungsi sebagai pusat pengajaran dalam bilik kuliah semata-mata. Para pelajar perlu cakna bahawa Universiti, para pensyarah dan mahasiswanya turut memainkan peranan penting sebagai pemangkin perubahan sosial,” katanya.

Tambah beliau, SULAM merupakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan libatsama masyarakat. Ia bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk memahami isu sebenar komuniti, malah melatih mereka mencari penyelesaian melalui ilmu, kemahiran komunikasi dan pendekatan dakwah yang berkesan.

“SULAM bukan sahaja menggalakkan pelajar untuk aktif berinteraksi dengan komuniti, malah menuntut kalian sebagai pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari bagi menangani cabaran sebenar masyarakat setempat melalui pemindahan ilmu dan aktiviti libatsama,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata pendekatan SULAM mampu membentuk pelajar yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kepekaan sosial, semangat kesukarelawanan dan kemahiran insaniah yang tinggi.

Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan SULAM di USIM perlu terus diangkat melalui Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (INAQ), selaras dengan falsafah pendidikan universiti.

“Di USIM, kita perlu mengangkat pendekatan ini dengan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (INAQ). Ini bermaksud, setiap intervensi atau projek SULAM ini bukan sahaja diasaskan dalam kerangka silibus akademik, tetapi juga berteraskan naqli seperti intipati al-Quran dan hadis,” katanya.

Jelas beliau, kempen sosial yang dilaksanakan oleh pelajar bukan sekadar menggunakan teknik komunikasi moden, tetapi turut diterapkan dengan kefahaman ayat al-Quran, hadis serta perspektif Islam agar mesej yang disampaikan lebih menyeluruh dan bermakna.

Program ini turut mendapat kerjasama komuniti Masjid Abu Al-Darda’ Nilai Impian, Negeri Sembilan, dua juri akademik dan industri, Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM serta Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (CETL) USIM.

Mengakhiri ucapan, beliau berharap agar usaha ini menjadi pencetus kepada pelajar dan warga universiti untuk terus menjadi agen sosial yang menyumbang kepada masyarakat, negara dan agama.

“Akhir kata, saya percaya dan yakin, dengan pendekatan SULAM dan integrasi naqli-aqli ini, kita sedang memimpin pelapis generasi dengan gelombang baharu pendidikan tinggi negara yang berhadapan dengan teknologi,” katanya.