PHNOM PENH, KEMBOJA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperluas akses pendidikan tinggi kepada komuniti Muslim di Kemboja menerusi lawatan kerja rasmi selama enam hari oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dari 11 hingga 16 Julai 2026.
Menurut Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam FKP, Dr. Saleha Idris lawatan ini bertujuan memperkukuh kerjasama akademik, memperkenalkan USIM dan FKP serta membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Muslim Kemboja untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Sepanjang lawatan tersebut, Dr. Saleha mengadakan sesi jelajah akademik bersama pelajar Gred 11 dan Gred 12 di Norol Iman High School serta Cambodia Islamic Centre School di Chroy Metrey, Kandal.
Dalam sesi berkenaan, beliau memperkenalkan enam program akademik yang ditawarkan oleh FKP, syarat kemasukan serta pelbagai bidang kerjaya yang boleh diceburi oleh graduan selepas menamatkan pengajian.
“Pendedahan secara bersemuka membolehkan para pelajar mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai program pengajian, syarat kemasukan dan prospek kerjaya yang boleh diterokai. Kami berharap sesi ini dapat membantu mereka membuat perancangan pendidikan tinggi dengan lebih yakin,” katanya.
Dr. Saleha berkata, pendidikan tinggi berperanan penting dalam melahirkan generasi Muslim yang mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Pelajar Muslim di Kemboja mempunyai potensi yang besar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Melalui peluang pendidikan yang berkualiti, mereka bukan sahaja dapat membangunkan diri, malah kembali menyumbang kepada keluarga dan komuniti masing-masing,” katanya.
Selain sesi bersama pelajar, beliau turut dijemput menyampaikan bengkel pembangunan profesional bertajuk Methodology of Teaching and Student Development Based on Educational Psychology kepada hampir 40 orang guru di NICS.
Bengkel tersebut memberi tumpuan kepada pemahaman ciri psikologi pelajar Generasi Z dan Generasi Alpha, selain mengetengahkan strategi pengajaran praktikal serta pendekatan berpusatkan pelajar bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan.
“Generasi pelajar hari ini mempunyai corak pemikiran, cara berkomunikasi dan keperluan pembelajaran yang berbeza. Oleh itu, para pendidik perlu menyesuaikan pendekatan pengajaran supaya pelajar lebih terlibat, bermotivasi dan mampu mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh,” katanya.
Lawatan kerja itu turut melibatkan jemputan khas daripada Timbalan Setiausaha Negara, Kementerian Penerangan Kerajaan Diraja Kemboja, Tuan Yang Terutama Dr. Alfin Sles untuk menjayakan sesi temu bual bersama Cambodia Islamic TV (CITV) di Phnom Penh.
Menurut Dr. Saleha, temu bual berkenaan membincangkan kepentingan pendidikan Islam dalam pembangunan komuniti Muslim di Kemboja serta peranan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berakhlak.
Dr. Saleha turut mengadakan pertemuan dengan Penasihat Kerajaan Diraja Kemboja, Tuan Yang Terutama Mosa Aly bagi membincangkan potensi kerjasama pada masa hadapan serta peluang kepada pelajar Muslim Kemboja untuk melanjutkan pengajian di USIM.
“Pertemuan dengan pihak sekolah, pendidik dan wakil kerajaan Kemboja menunjukkan terdapat ruang yang luas untuk kerjasama dalam bidang pendidikan, pembangunan pelajar dan latihan profesional. USIM bersedia meneroka bentuk kerjasama yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua negara,” kata Dr. Saleha.
Lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan dan jaringan global menerusi kerjasama dengan institusi pendidikan serta agensi kerajaan di Kemboja.
Inisiatif tersebut juga menjadi platform memperkenalkan pendekatan pendidikan USIM yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli, di samping memperluas akses kepada pendidikan tinggi Islam berkualiti bagi komuniti Muslim di rantau ini.

