NILAI, 31 Mac 2014 – Mendukung hasrat kerajaan yang menggariskan pelaksanaan e-Pembelajaran  oleh universiti-universiti awam di Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyahut cabaran itu dengan melancarkan Program dan Perkhidmatan Pusat Akses Pembelajaran Terbuka Global (GOAL CENTRE) yang telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti  (LPU) baru-baru ini.

USIM melihat ini sebagai peluang  untuk  meneroka  satu lagi platform yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan holistik universiti ini. Seiring dengan perkembangan pesat serta permintaan tinggi e-pembelajaran di Malaysia , pada tahun 2011 Naib Canselor USIM ke 2 iaitu Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda telah mengasaskan GOAL Centre.

Penubuhan GOAL Center ini sejajar dengan pembangunan sistem pendidikan  secara atas talian yang dinamakan Global Open Access Learning System (GOALS). Sistem ini  direka bagi menyediakan  pengguna dengan papan pemuka tunggal yang mengintegrasikan maklumat, pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran, di samping menyediakan bahan-bahan rujukan dan pembelajaran kepada semua kakitangan akademik USIM untuk program-program pendidikan seperti kuiz, perbincangan dan juga sistem tele-sidang secara web. Objektif penubuhannya juga bagi  menyelaraskan program-program e-pembelajaran, termasuklah penawaran program  Open Distance Learning (ODL), Lifelong Learning, dan Open Educational Resources (OER).

Pengarah GOAL Center, Dr. Ernie Suzana Ali dalam ucapannya berkata e-pembelajaran USIM telah bermula seawal tahun 2003 lagi, dimana usaha pembangunan digerakkan melalui Pelan Strategik ICT. Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) yang pertama telah diumumkan pada tahun 2006 yang diurus tadbir oleh Pusat Teknologi Maklumat, dan diambil alih oleh Pusat Inovasi Pembelajaran dan Pengajaran (PIPP) pada tahun 2010. Pada fasa ketiga iaitu pada Ogos 2011 ia telah dipertanggungjawabkan terus kepada GOAL Centre. “Usaha yang kolektif dan komitmen yang tinggi perlu digerakkan secara bersama dalam usaha mengukuh dan melestarikan e-pembelajaran di USIM pada masa akan datang”, katanya.

Majlis diakhiri dengan penyampaian anugerah sumbangsih dan cenderamata kepada bekas kakitangan dan pengguna aktif GOALS.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus
Penolong Pegawai Media StraComm