SELATAN THAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Perhubungan Antarabangsa (PPA) terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mempromosikan peluang pengajian diperingkat prasiswazah dan pasca siswazah di USIM kepada pelajar antarabangsa dan salah-satunya melalui Siri Program Roadshow Promosi USIM ke negara-negara terpilih.

Dalam Siri Program Roadshow Promosi USIM terkini, Selatan Thailand dipilih menjadi tumpuan delegasi promosi USIM yang diketuai oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Dekan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) yang turut disertai YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamad Hj Alias, Pengarah Pusat Pembangunan Pembiayaan Waqaf (PPPW), En. Sharrazmi Anas, Penolong Pendaftar di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Saudara Rusdy Thakloay, pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) yang berkerakyatan Thailand.

Program Roadshow ini yang diadakan selama lima hari bermula pada 21 hingga 26 Ogos 2013, telah menjelajah ke lima buah daerah di Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Hatyai. Antara sekolah yang dikunjungi adalah Sekolah Thamvitya Mulniti (Yala), Sekolah Darunsat (Sai Buri), Madrasah Darussalam (Narathiwat) dan Sekolah Mahat Nuruddin (Songkhla).

Menurut Prof Dato’ Dr. Muhamad Muda, usaha mengadakan promosi di sekolah agama yang terpilih di Thailand ialah untuk memberikan pendedahan kepada kumpulan sasaran iaitu pelajar lepasan sekolah menengah dari aliran agama untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di USIM.

“Tujuan lawatan ini juga adalah untuk mengenalpasti kelompok masyarakat dan komuniti di selatan Thailand bagi mengusahakan program mobiliti pelajar berbentuk community engagement bersama masyarakat di sini” katanya lagi.

Selain itu, promosi ke Thailand juga turut diisi dengan mengadakan perbincangan lanjutan bersama Education Heritage Foundation (EHF) mengenai program waqaf dan cadangan penubuhan universiti Islam di wilayah selatan Thailand.

Satu majlis MoU antara USIM yang diwakili oleh Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda  dan Prof. Dato’ Dr. Mohammad Haji Alias, Pengarah Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf (PPPW) manakala EHF diwakili Presiden dan Timbalan Presiden, Mr. Areepen Utarasint dan Mr. Boonya Leeled.

Delegasi USIM juag turut mengadakan kunjungan hormat bersama Dr. Ismail Lutfi Chapakeya, Rektor Fatoni University di Madrasah Ar-Rahmaniah Fatani, Yala dan beliau menunjukkan minat untuk mengadakan MoU bersama USIM bagi kerjasama akademik. Diakhir lawatan, delegasi dibawa melawat tapak “Asian International University of Science and Technology” yang merupakan projek kerjasama antara Thailand dan Malaysia. Antara pihak yang terlibat dalam projek ini adalah USIM, Kolej Murni, Kolej Insaniah (KUIN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Disediakan oleh :
Urusetia Program Roadshow Promosi USIM ke Thailand

Dikemaskini oleh :
Mohd Zaini Othman (StraComm)