NILAI, 19 OGOS 2015– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bakal menyambut dan meraikan 1200 penuntut Universiti Asean dikampusnya induknya, Nilai Negeri Sembilan sempena penganjuran Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Asean dan Konvensyen Pendakwah Muda Antarabangsa 2015. Penganjuran Ihtifal IPT Asean ini akan berlangsung bermula 20 hingga 24 Ogos 2015 dengan penglibatan negara Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Penganjurannya secara dwi-tahunan ini memasuki edisi keempat sejak mula dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sebanyak tiga pertandingan utama dilangsungkan iaitu Tilawah Al-Quran, Debat Bahasa Arab dan Nasyid dengan hadiah utama berbentuk wang tunai.

Selain itu, turut dianjurkan serentak bersama Ihtifal ini adalah Konvensyen Pendakwah Muda Antarabangsa yang diurusetiakan oleh Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) USIM dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM. Bertemakan “Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli” akan memfokuskan isu, cabaran dan realiti semasa umat Islam pada hari ini seperti di Syria, Palestin dan Rohingya agar selari dengan agama Islam sebagai Rahmatan Lilalamin.

Beberapa tokoh ilmuwan dan intelektual Islam dalam dan luar negara akan terlibat dalam konvensyen ini antaranya Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan; Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, mantan penyandang Kursi Kepemimpinan Islam USIM; Dr Hamid Fahmy Zarkasyi, pengasas Pesantren Moden Gontor Ponorogo dan Tuan Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzzaman, satu-satunya pelajar Malaysia di Universiti Gaza.

Lebih 23 buah universiti serantau menghantar penyertaan antaranya dari Malaysia adalah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin. Dari Indonesia seperti Universiti Islam Negeri (UIN) Walisongo, UIN Syarif Hidayatullah, UIN Sultan Syarif Kassim Riau, Universitas Muhammadiyah, Universitas Islam Nusantara manakala Brunei adalah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Pengajurannya pada kali ini juga amat istimewa kerana diadakan sempena Sambutan 15 Tahun USIM. Objektif utamanya adalah menonjolkan bakat mahasiswa Islam serantau dalam kesenian Islam, pengucapan awam dan kepimpinan. Ia diharapkan dapat melahirkan generasi belia Islam yang berperanan sebagai pemangkin kepada agenda transformasi negara dan ummah.

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Ihtifal IPT Asean pada hari terakhir akan dihadiri oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Satu memorandum khas hasil Konvensyen Pendakawah Muda Antarabangsa juga akan diserahkan kepada beliau.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204