Nilai, 13 Mac 2009 – Seperti tahun-tahun sebelumnya, USIM sekali lagi mengadakan program perarakan dan sambutan Maulidur Rasul 1430H peringkat Universiti yang  bertemakan “Wahdah Pemangkin Khaira Ummah”.

Antara objektif program ini adalah untuk menanamkan perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW seterusnya meletakkan Rasulullah SAW sebagai idola dan contoh ikutan terbaik dalam keseluruhan aspek kehidupan.

Acara dimulakan dengan bacaan selawat beramai-ramai yang diketuai oleh En. Mohd Naim bin Mustafa, Penolong Pendaftar INFAD. Semua peserta berbaris mengikut Jabatan dan Fakulti masing-masing. Pada kali ini setiap kontigen dinilai berdasarkan lima kriteria utama iaitu disiplin, keceriaan, kerjasama, keseragaman dan slogan terbaik. Acara seterusnya adalah Amanat Y.Bhg. Dato’ Naib Canselor, bacaan Rawi oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan tayangan video.

Juara keseluruhan telah dimenangi oleh Jabatan Pendaftar yang mana telah memenuhi kelima-lima kriteria yang ditetapkan . Manakala untuk kategori disiplin telah disandang oleh Jabatan Canselori. Jabatan Bendahari telah memenangi kategori keceriaan. Untuk kerjasama dan keseragaman, masing-masing telah dimenangi oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunah dan Fakulti Sains dan Teknologi berserta Tamhidi. Untuk Slogan terbaik pula telah disandang oleh Fakulti Pengajian Bahasa Utama.

Semoga dengan adanya program sebegini dapat mempererat dan menyatukan warga USIM ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.

Oleh :
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8028