NILAI, 28 SEPT 2015 – Acara tahunan anjuran Pusat Perancangan Korporat dan Pengurusan Kualiti (PPKPK), Minggu Kualiti dan Inovasi (MKI) dilancarkan secara rasminya hari ini bertempat di Galeri, Bangunan Canselori dengan tema “Sehati Sejiwa Cetus Kreativiti Ledakan Inovasi”. Tema kali ini berpaksikan ke arah memperkasakan hubungan kerjasama sesama warga USIM bagi mencipta inovasi yang berimpak kepada ummah secara umumnya.

Naib Canselor USIM dalam ucapannya mengajak warga USIM untuk sama-sama turut serta dalam acara sepanjang MKI secara berterusan untuk memajukan universiti ke arah membudayakan kualiti dan inovasi dalam cara kerja seharian. Ia adalah sejajar dengan hasrat kerajaan serta salah satu lonjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025 iaitu ekosistem inovasi bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara selari dengan tuntutan perubahan teknologi.

“Saya melihat terdapat kelainan acara tahun ini apabila sekretariat Skuad iQ bersama-sama pengurusan tertinggi USIM turun padang seperti tour ke PTJ yang mana konsep turun padang adalah sinonim dengan outcome USIM iaitu menjadi nombor satu di hati dan minda masyarakat. Justeru, adalah penting kita melaksanakan prinsip ini untuk melihat sendiri masalah serta menyemarakkan semangat kekitaan warga organisasi khusunya warga USIM,” ucap YBhg. Prof Dato Dr Musa dalam ucapannya.

MKI bermula 28 September selama seminggu menyediakan aktiviti-aktiviti antaranya pertandingan kuiz oleh sekretariat Squad iQ  yang turun padang di setiap PTJ untuk sesi soal jawab dan pemberian hadiah. Aktiviti lain seperti pertandingan rekacipta barang dari bahan kitar semula, icon talk serta acara yang julung kali diadakan iaitu Anugerah Paling Popular USIM iaitu anugerah yang berkonsepkan santai yang diadakan sebagai inisiatif untuk menarik semangat warga USIM menyertai MKI di mana 3 kategori yang dipertandingkan iaitu Anugerah Paling Popular, Anugerah Mesra Pelanggan dan Anugerah Paling Kreatif yang terbuka kepada semua warga USIM.

Selepas Majlis Pelancaran berlangsung, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad bersama pengurusan universiti mengadakan lawatan ke dewan kuliah dan pejabat bagi menyampaikan watikah sempena berlangsungnya Minggu Kualiti dan Inovasi.

Kemuncak Minggu Kualiti dan Inovasi iaitu Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi USIM 2014 akan diadakan pada 2 Oktober 2015 di Dewan Tuanku Canselor USIM sebagai mengiktiraf dan menghargai warga USIM yang telah mempamer hasil kerja bermutu dan komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204