NILAI, 19 Mei 2021 – Susulan peningkatan kes-kes jangkitan COVID-19 yang terus meningkat di Daerah Seremban, Negeri Sembilan dan di seluruh negara, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil keputusan untuk menangguhkan semua pergerakan pelajar kembali ke kampus selepas Cuti Hari Raya Aidilfitri bermula pada hari ini, 19 Mei 2021 sehingga 28 Mei 2021.

Penangguhan ini merangkumi semua pergerakan pelajar ke kolej-kolej kediaman dan rumah rumah sewa pelajar di USIM sama ada yang pulang ke kampus dengan menggunakan bas yang diuruskan oleh pihak universiti, dihantar oleh ibu bapa/ waris dan menaiki kenderaan sendiri. Hanya pelajar yang pulang menaiki kapal terbang sahaja diberi kelonggaran untuk meneruskan perjalanan pulang ke kampus.

Bagi pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar berkeperluan khas yang perlu mengikuti sesi pengkuliahan secara fizikal, kumpulan ini akan dibenarkan kembali semula ke kampus bermula pada 29 Mei 2021 mengikut ketetapan jadual yang akan dimaklumkan oleh pihak USIM.

Pihak USIM sentiasa mementingkan keselamatan para pelajar di samping berusaha memastikan pelajar dapat meneruskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan baik. Pelajar hendaklah terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sentiasa peka dengan pengumuman dari pihak USIM dari semasa ke semasa.

Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini mengambil inisiatif melaksanakan Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 bermula pada 7 Mei hingga 12 Mei 2021 lalu. Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing dengan 538 orang daripadanya dihantar pulang menggunakan kenderaan universiti.

Mengikut perancangan awal, pelajar USIM dibenarkan pulang ke kampus secara berperingkat mulai 17 Mei sehingga 23 Mei 2021 hadapan.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan