NILAI, 31 Disember 2021 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima sumbangan produk makanan daripada Adabi Consumer Industries (Adabi) Sdn. Bhd pada pagi ini untuk disumbangkan kepada mereka yang terkesan dengan bencana banjir. Sumbangan bernilai RM11,700 itu terdiri dari 1000 paket ketupat nasi mini, kari ayam dan kari daging berlangsung di Kompleks Sukan Tunku Najihah.

Sumbangan oleh Adabi kepada USIM diserahkan oleh Tuan Syed Mahadzir Dato Syed Manshor, Ketua Pegawai Eksekutif Adabi Consumer Industries Sdn Bhd kepada Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Arifin, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan). Turut hadir menyaksikan penerimaan sumbangan ini adalah Profesor Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM.

“Sumbangan yang diterima daripada syarikat korporat seperti Adabi kepada USIM ini seperti hari ini merupakan satu bentuk pengiktirafan secara tidak langsung kepada MISI USIM PRIHATIN yang digerakkan oleh Universiti untuk membantu dan meringankan kesusahan mereka yang terkesan dengan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini sama ada dalam kalangan kakitangan, pelajar mahupun orang awam”

“Kita amat prihatin dengan ujian besar ini dan atas dasar itu seawal 19 Disember lalu USIM telah bergerak mengkoordinasi pelbagai gerak kerja antaranya menggerakkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas, pengumpulan dan pengagihan sumbangan dan membantu pencucian kediaman mangsa-mangsa banjir” ujar Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Arifin.

Tambahnya lagi, sehingga 30 Disember sebanyak 163 keluarga telah menerima sumbangan dari USIM dalam bentuk kewangan, makanan dan barangan keperluan manakala 63 buah kediaman yang terjejas teruk telah dibersihkan oleh sukarelawan USIM antaranya yang terletak di Jenderam Hilir, Labu Lanjut, Salak Tinggi, , Hulu Langat, Bukit Changgang dan Jelebu.

Selain itu USIM melalui Pusat Wakaf dan Zakat telah menubuhkan Tabung Khas Bencana Banjir melalui inisiatif Jom Infaq dengan RM123,000 berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai. Prihatin dengan nasib pelajar yang mengalami kerosakan komputer riba kerana bencana ini juga, seramai 11 orang pelajar telah menerima komputer riba baharu sebagai ganti bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran mereka tidak terjejas.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan