NILAI, 9 Jun 2020 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) telah diumumkan sebagai finalis bagi International Green Gown Awards 2020 (IGGA) yang berprestij menerusi program yang dikendalikan iaitu LIGHT: Leadership for Social Empowerment Program pada 3 Jun 2020. IGGA telah disokong sepenuhnya oleh United Nations Environment Programme (UNEP) dan disokong oleh The Association of Commonwealth Universities (ACU), L’Agence universitaire de la Francophonie (AUF) dan International Association of Universities (IAU).

LIGHT dianjurkan bersama oleh USIM, UIAM dan dengan sokongan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). LIGHT diilhamkan oleh kedua-dua Felo CEO@Faculty Programme 2.0 Cycle 2 (CFP2.0) Fellows, Dr. Muhammad Nizam Awang (USIM) dan Profesor Madya Dr. Khalilah Zakariya (UIAM) sebagai Ketua Projek. LIGHT merupakan sebahagian daripada hasil projek mereka yang menjalani sangkutan di PNB dari September 2018 sehingga Februari 2019 di bawah Academia Industry Talent Exchange Programe (AIxCHANGE) yang dinaungi Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Program CFP2.0 dengan tema “Coached by Pros” merupakan salah satu sub-inisiatif di bawah AI-xCHANGE yang melibatkan penyertaan pensyarah bawah umur 40 tahun dari 20 universiti awam di Malaysia yang ditugaskan menjalani sangkutan di pelbagai syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) selama enam (6) bulan.

“Sebagai Ketua Program, saya amat berbesar hati kerana projek libatsama komuniti telah berjaya menarik pelajar dari pelbagai disiplin dari USIM dan UIAM. Mereka yang terpilih telah berpeluang untuk menyelesaikan senario sebenar yang melibatkan pemuliharaan warisan budaya dari projek pembuat sambal, pembuat songkok, pembuat batik dan pengalaman sekolah orang Asli. Hasil dan impak projek ini diselarikan dengan United Nations Sustainable Development Goals,” ujar Dr Muhammad Nizam Awang.

Bagi Elliana Faten, salah seorang peserta LIGHT, berkata sangat teruja menyertai LIGHT kerana kami diberi peluang untuk menterjemahkan ilmu yang dipelajari di USIM dalam senario sebenar masyarakat.

“Pengalaman mencabar apabila idea kami diuji dan dipastikan menepati kehendak komuniti berkenaan. Contohnya, bagi projek komuniti Pembuat Sambal, kami mengenalpasti masalah dan potensi perniagaan sambal dengan pengasasnya. Kami menerima bimbingan dari mentor yang terdiri daripada pensyarah USIM dan UIAM, dan pakar dalam perniagaan dan urusan pensijilan Halal. Pelajaran yang diperolehi lebih besar dari isu perniagaan. Kami juga mengalami sendiri bagaimana memupuk budaya kepimpinan dengan nilai-nilai murni melalui aktiviti dan sesi perkongsian bersama para penceramah jemputan yang berwibawa dari PNB, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), TV Al Hijrah dan alumni,” ujarnya.

Pada awal Februari tahun ini, LIGHT juga telah merangkul anugerah ‘People’s Choice Award’ bagi Local Project Challenge dimana ia telah diumumkan pada “10th World Urban Forum 10” di Abu Dhabi. Sebanyak 110 projek daripada 39 negara telah mengambil bahagian. Anugerah ini dianjurkan oleh Center for Sustainable Urban Development, Columbia University, New York dan Federal University, Rio de Janeiro.

LIGHT menjadi platform untuk mendedahkan pelajar kepada peranan mereka sebagai anggota masyarakat dan industri, serta untuk mengasah pengembangan diri, kerja berpasukan, kepemimpinan dan mempertajamkan kemahiran menyelesaikan masalah.

Disediakan oleh:
Dr. Muhammad Nizam Awang
Ketua Program LIGHT & Felo CEO@Faculty Programme 2.0 Cycle 2