NILAI- 5 September 2020, Universiti Sains Islam Malaysia, USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd (UTHSB) dengan Kerjasama Yayasan Hasanah Malaysia telah melancarkan Kursus Pemerkasaan Usahawan Ibu Tunggal B40 Secara Atas Talian yang disertai oleh 30 peserta yang terdiri daripada usahawan ibu tunggal B40. Kursus ini dirasmikan oleh Y.Bhg Pengerusi Lembaga Pengarah USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd, Puan Raja Azura Raja Mahayuddin.

Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan masalah isu-isu keusahawanan dikalangan usahawan ibu tunggal B40 dengan menyasarkan peningkatan aliran tunai sekurang-kurangnya 5%, dan mengurangkan masalah perniagaan peserta sebanyak 5%. Selain itu peningkatan pengetahuan dalam pengurusan fungsi utama perniagaan juga akan dititik beratkan selama 6 bulan kursus ini berlangsung.

Kursus ini dikendalikan keseluruhannya secara atas talian. Fasilitator yang terlibat terdiri daripada para pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia yang berpengalaman dalam bidang masing-masing dan mampu untuk memberi komitmen yang tinggi dalam membantu golongan sasaran. UTHSB juga berkerjasama dengan pihak luar seperti MDEC untuk memastikan modul yang berkaitan E-Usahawan ini dapat berjalan dengan lancar.

Objektif kursus ini ialah untuk memberi pendedahan asas kepada pengurusan kewangan peribadi dan keluarga. Peserta juga akan ditekankan tentang asas-asas mengenai etika perniagaan serta pengunaan ‘Business Model Canvas (BMC)’ untuk membuat perancangan memulakan perniagaan. Melalui kursus ini juga peserta akan diterangkan tentang beberapa bahagian yang memainkan peranan utama dalam perniagaan iaitu sumber manusia, pemasaran, operasi dan kewangan. Bagi memastikan usahawan yang dibentuk tidak ketinggalan dengan norma baru perniagaan masa kini, mereka juga akan didedahkan dengan kaedah perniagaan atas talian yang merangkumi pengunaan sosial media dan platform atas talian.

Masalah utama golongan sasar ialah kekurangan ilmu dalam bidang keusahawanan sedangkan berniaga adalah punca kelangsungan hidup mereka seharian. Selain itu mereka memerlukan galakan dan pemantauan untuk memastikan bahawa mereka berada di landasan yang betul.

Sebahagian peserta berpendapat, mereka sangat memerlukan bantuan kepakaran untuk menempuh norma baru perniagaan dalam era covid 19 dan pasca covid 19. Peserta juga berpendapat kaedah perlaksanaan kursus ini sangat bertepatan dengan norma baru perniagaan sekarang iaitu pendedahan komunikasi dan perniagaan secara atas talian.

UTHSB berharap agar kursus sebegini dapat dijalankan disetiap negeri atau daerah agar kesedaran tentang konsep keusahawanan yang betul dan E-Usahawan dapat diterapkan dikalangan golongan yang memerlukan terutama golongan ibu tunggal B40.

Disediakan oleh:
USIM Tijarah Sdn Bhd

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan