“Kekuatan yang dimiliki oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang komited terhadap tradisi keilmuan Islam, berupaya melonjakkan pengaruh Islam dalam inovasi khususnya dalam penciptaan produk-produk di pasaran”.

“Saya mengalu-alukan usaha dan inisiatif USIM melalui Fakulti Sains dan Teknologi (FST) bagi menubuhkan Tabung Saintis Muda. Saya percaya dengan penubuhan Tabung Saintis Muda ini, ia akan dapat merangsang dan menggalakkan lagi aktiviti pembangunan inovasi dan kreativiti di kalangan mahasiswa”, kata Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia semasa berucap di majlis perasmian Ekspo Inovasi Islam (i-Inova 2010)di USIM.

Program yang bertujuan untuk mengenengahkan serta merangsang idea yang inovatif dan kreatif dalam pembangunan produk Islam di kalangan para pelajar IPTA/IPTS diadakan bermula 26 hingga 28 september bertempat di Stadium Tertutup Nilai.

Program ini merupakan anjuran Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sebanyak 80  penyertaan dari pelbagai agensi dan organisasi menyertai ekspo ini iaitu 30 bagi kategori Prasiswazah dan 50 bagi kategori terbuka.

UKM (Kategori Terbuka) dan IPG Perlis (Kategori Praiswazah) telah dinobatkan sebagai penerima anugerah utama iaitu Anugerah Inovasi Islam 2010. Masing-masing menerima RM 3000, sijil penyertaan dan piala iringan.

UKM mempertaruhkan inovasi yang bertajuk “I-ES: Islamic Extraction and Retrieval System to Support Building of a Multilingual Domain Otology to Enhance Knowledge Discovery Online” manakala IPG Perlis pula membawa tajuk “Tub Mandi Jenazah Mudah Alih”.

Anugerah Inovasi Islam ini diberikan berdasarkan kepada penghasilan yang paling inovatif dan dapat memberikan sumbangan kepada pembangunan ummah.

Selain itu dua lagi anugerah turut diberikan kepada penghasilan yang inovatif dan unik serta yang membawa impak kepada masyarakat. Anugerah tersebut ialah Anugerah Al Khawarizmi dan Anugerah Ibnu Sina. Pemenang menerima RM 1500, sijil penyertaan dan piala iringan.

Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM, Dr. Hjh Noorhayati Hashim telah memenangi Anugerah Ibnu Sina untuk kategori terbuka. Beliau telah menghasilkan inovasi yang bertajuk “Noor Method In Teaching Arabic Grammar”.

“Noor Method In Teaching Arabic Grammar” ini merupakan kaedah pembelajaran tatabahasa dalam bahasa arab yang lebih mudah.

“Pembelajaran ini mengunakan pelbagai kaedah seperti penggunaan kad dan perisian multimedia. Ianya lebih mudah, cepat dan sistematik”, tambah Noorhayati.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Gambar oleh : Mohd Saepol bin Marpi (06-7988058)