SEREMBAN, 19 September 2020 – Institut Sains Islam (ISI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turun padang memeriahkan sambutan Hari Kebersihan Sedunia (World Cleanup Day) 2020 dan Kempen Negeri Sembilan Bersih 2020 bertempat di Taman Malaysia Seremban. Program anjuran Kerajaan Negeri Sembilan ini disertai USIM dengan Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dilihat mampu menaikkan semangat masyarakat untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Sambutan ini berlaku serentak di 8 lokasi yang mewakili semua daerah di Negeri Sembilan.

ISI bersama 30 orang pelajar Tamhidi USIM dan kakitangan ISI berkumpul dan menyertai acara sebagai tanda menyokong dan cakna kepada aktiviti khidmat masyarakat di kawasan sekitar. Pada majlis yang sama, Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan Pengurusan Universiti turut hadir meraikan sambutan dan bersama-sama melihat gimik perasmian yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Baginda menyempurnakan acara gimik perasmian dengan mengutip sampah menggunakan penyepit khas dan kemudian memasukkannya ke dalam sebuah tong sampah khusus untuk pembuangan pelitup muka yang dibina oleh pasukan penyelidik USIM yang dinamakan PPE Disposal Taskforce.

Pasukan PPE Disposal Taskforce USIM yang diketuai oleh Dr. Nuruliza Roslan, pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan berbesar hati apabila USIM dijemput untuk menyertai acara gimik “World Cleanup Day” 2020.

“Program hari ini sejajar dengan inisiatif USIM dalam memperkenalkan “Kempen Pembuangan Pelitup Muka Secara Selamat dan Betul dan ia secara tidak langsung Kempen #USIMjagasemua yang telah mula diperkenalkan di peringkat USIM dapat disebarluas kepada masyarakat setempat untuk sama-sama mengamalkan sikap prihatin sewajarnya,” ujarnya.

“Satu kejayaan kecil apabila Kempen #USIMjagasemua melalui peletakan tong sampah khas di Pejabat YAB Menteri Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan agensi lain disambut baik untuk menyokong aktiviti pembuangan pelitup muka dengan betul,” tambahnya lagi.

Bagi Wan Muhammad Azizi Wan Adam, pelajar Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains yang menjadi sukarelawan berkata, program berkenaan menarik kerana ia sedikit sebanyak membantu meningkatkan kefahamannya mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

“Kita harus bersama-sama menjayakan program seperti ini, sama-sama amal budaya kebersihan, tidak buang sampah merata tempat. Saya akan guna laman sosial untuk mempromosi kempen ini supaya lebih ramai dapat sama-sama memainkan peranan proaktif menjaga kebersihan,” ujarnya.

Manakala bagi Nur Kautsar Ismail, pelajar Tamhidi Perakaunan dan Muamalat berkata dia tidak sabar menyertai program itu kerana boleh meningkatkan kesedaran golongan golongan muda sepertinya untuk menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar.

“Penjagaan alam sekitar bukan pada pihak agensi kerajaan sahaja, sebaliknya setiap individu dalam masyarakat. Malah, amalan baik ini perlu bermula dari peringkat awal pada usia muda,” katanya.

Sambutan Hari Kebersihan Sedunia ini turut dihadiri oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta wakil agensi dan badan kerajaan.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan