NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuktikan keunggulan bakat dan sahsiah mahasiswanya apabila berjaya menyapu bersih dua gelaran juara menerusi penyertaan dalam Pertandingan Battle of the Band dan Pertandingan Sorakan Perang (War Cry).

Kejayaan berganda itu diraih menerusi persembahan bertenaga dua kumpulan di bawah bimbingan Pusat Kebudayaan USIM, iaitu kumpulan muzik moden The Bachelors dan kontinjen Kelab Pengurusan & Persembahan Seni (KPPS).

Kedua-dua pasukan berjaya memikat hati barisan juri dengan menyuntik elemen kesedaran hak kepenggunaan secara kreatif, sekali gus menterjemahkan acuan mahasiswa berilmu dan berdaya saing tinggi.

Pertandingan berprestij anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berlangsung di Dewan Utama KPDN Negeri Sembilan sempena Pertandingan Battle of the Band dan Sorakan Perang (War Cry) Kepenggunaan Peringkat Negeri Sembilan pada 15 Ogos 2026 baru-baru ini.

Dalam kategori Battle of the Band, The Bachelors mempertaruhkan lagu Srikandi Cintaku daripada M. Nasir dengan mengekalkan identiti asal lagu bergenre pop rock berserta sentuhan dan susunan muzik tersendiri.

Vokalis The Bachelors, Muhammad Mifzal bin Muhammad Faruq berkata, kemenangan tersebut memberi kegembiraan kepada seluruh anggota kumpulan selepas melalui usaha dan latihan bersama.

“Bila diumumkan sebagai juara, memang perasaan kami sangat bersyukur dan teruja sebab segala usaha dan latihan yang kami lalui akhirnya membuahkan hasil.

“Untuk rancangan seterusnya, kami berharap dapat terus aktif dalam bidang muzik dan yang paling penting, kami nak terus bawa nama The Bachelors dan USIM dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, kontinjen KPPS tampil memukau menerusi persembahan War Cry yang digerakkan oleh Muhammad Aliff Zakwan bin Mohamad Firdaus selaku ketua vokal dan Muhammad Muneib bin Yusairi bagi bahagian koreografi.

Ketua Vokal KPPS, Muhammad Aliff Zakwan bin Mohamad Firdaus berkata, kemenangan itu menjadi pembakar semangat kepada kumpulan untuk memberikan persembahan terbaik pada peringkat seterusnya.

“Ketika nama USIM disebut sebagai juara semua ahli bersorak dengan gembira, daripada muka yang resah kepada muka yang cerah dengan senyuman.

“Harapan saya agar kumpulan War Cry ini terus menerus ke depan dan untuk peringkat seterusnya kami akan buat sehabis baik untuk mengharumkan nama USIM,” katanya.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohd Salehudin Sukor berkata, pencapaian pelajar USIM itu adalah hasil usaha dan pengorbanan mereka semasa cuti semester serta sikap tidak pernah mengenal erti putus asa dan lelah demi mengharumkan nama universiti.

Oleh: Nur Khadija Sulaiman