NILAI, 22 Mac 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini dalam usaha menggerakkan dan mengaktifkan kerjasama  antarabangsa, terutama untuk tujuan latihan, penyelidikan, dan perkongsian kepakaran sebagai usaha ke arah merealisasikan Misi USIM 2022 untuk menjadi sebuah Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi pada tahun 2022.

Justeru, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara USIM dan Universitas Muhammadiyah Riau (UMRI) Indonesia telah diadakan secara dalam talian bagi mengorak langkah untuk membantu dan menyokong antara satu sama lain dalam bidang-bidang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Antaranya, penglibatan bersama dalam aktiviti-aktiviti pendidikan, penyelidikan dan khidmat komuniti termasuk pertukaran pelajar dan staf akademik, usahasama dalam kepakaran akademik, pembangunan ilmu-ilmu agama Islam dan aktiviti saintifik, penganjuran bersama dalam seminar dan persidangan antarabangsa, serta perkongsian pengetahuan berkenaan integrasi ilmu Naqli dan ilmu Aqli.

Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya berharap melalui termetrinya memorandum persefahaman ini, kerjasama ini akan dapat membantu USIM untuk menghasilkan graduan dan alumni yang profesional, berintegriti, kompeten dan berdaya saing serta bebas rasuah dan amanah.

”Selain itu juga, dapat menghasilkan pelajar yang beradab, holistik dan seimbang serta cemerlang dalam akademik melalui kurikulum yang terkini dan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran berkualiti untuk memaksimumkan ’student learning experience’ dan meningkatkan pengiktirafan USIM dalam Pendidikan Islam, Sains Islam, Sains Sosial dan Bahasa Arab untuk menarik lebih ramai pelajar, penyelidik, pakar-pakar serta ahli akademik untuk berkolaborasi dengan USIM”.

Ujar Prof Ridza lagi, UMRI merupakan Universitas Muhammadiyah yang ke-10 menandatangani MoU dengan USIM sehingga hari ini. MoU seterusnya dengan sebuah lagi Universitas Muhammadiyah akan terlaksana dalam masa terdekat.

USIM diwakili oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, manakala UMRI diwakili oleh Yang Berbahagia Dr. Saidul Amin, Rektor Universitas Muhammadiyah Riau.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan