SEREMBAN 28 Okt. – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kumpulan Utusan buat julung kalinya bekerjasama menganjurkan Pesta Konvokesyen USIM Kesembilan yang akan diadakan di universiti berkenaan di Nilai dekat sini dari 1 hingga 4 Disember ini.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda berkata, menerusi kerjasama tersebut, program berkenaan diyakini akan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan sekali gus menjadikannya pesta konvo terbesar yang pernah dianjurkan oleh universiti itu.

“Kita menyasarkan 10,000 hingga 15,000 orang akan mengunjungi pesta yang menyediakan pelbagai aktiviti serta pengisian menarik yang dirangka oleh USIM dan Kumpulan Utusan.

“Kami yakin dengan publisiti yang diberikan oleh Kumpulan Utusan, ia akan dapat mempromosikan program ini kepada orang ramai terutama penduduk berhampiran seperti dari Nilai dan Bangi untuk berkunjung ke pesta empat hari itu,” katanya.

Muhamad berkata demikian pada majlis pra pelancaran pesta konvokesyen itu di bangunan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM di sini hari ini.

Turut hadir, Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Zaini Hassan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.

Menurut Muhamad, aktiviti menarik yang akan dijalankan sepanjang pesta tersebut termasuk pameran kereta, karnival kerjaya, pertandingan nasyid, futsal, mewarna serta bola jaring yang turut menawarkan hadiah wang tunai.

“Bagi memeriahkan lagi sambutan pesta tersebut, sebanyak 140 gerai jualan akan dibuka kepada para pengunjung. Lebih menarik pesta ini turut menyaksikan Kumpulan Utusan menganjurkan konsert Pancaindera, pertandingan memancing dan karaoke,” katanya.

Sementara itu, Zaini dalam ucapannya berkata, cabaran untuk menjayakan program itu akan digalas sebaik mungkin oleh warga Kumpulan Utusan.

“Saya akan pastikan rakan-rakan bekerja keras dalam memastikan kelancaran serta kejayaan pesta konvokesyen ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia