En Jasmin Jaimon merupakan antara pentadbir terawal yang berkhidmat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) atau dahulu dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Beliau bersama pustakawan seangkatannya telah membangunkan Perpustakaan USIM setelah melapor diri pada bulan Oktober 2000 yang mana pada masa itu hanya mempunyai tiga orang Pembantu Perpustakaan. Timbalan Pengarah StraComm, En Asri Husain menyingkap peranan penting yang dibawa oleh pengurusan perpustakaan pada ketika itu dalam melewati era digital yang semakin maju dan cepat kini.

S1 Bolehkah tuan ceritakan serba ringkas sejarah penubuhan perpustakaan di universiti ini?

Perpustakaan USIM bermula ditubuhkan pada Julai 2000 bertempat di Bangunan Institut Profesional Baitulmal (IPB), Kg Pandan, Kuala Lumpur. Kemudian, pada bulan Julai 2001, perpustakaan ini berpindah di tingkat 14, Menara A, Pandan Indah apabila KUIM beroperasi di kampus sementara yang baharu disebabkan lokasi yang lama tidak mampu lagi menampung tambahan bilangan pelajar.

Pada bulan Julai 2005, perpustakaan berpindah ke Kampus Tetap di Bandar Baru Nilai. Namun begitu, perpustakaan di Pandan Indah dikekal bagi kegunaan pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan juga Fakulti Pergigian (FPg).

Pada peringkat awal, perpustakaan hanya mempunyai tiga orang Pembantu Perpustakaan dan saya melapor diri pada bulan Oktober 2000. Sehingga tahun 2017, jumlah kakitangan perpustakaan adalah seramai 45 orang dalam pelbagai gred jawatan. Perpustakaan USIM berfungsi bagi menyediakan pelbagai bahan rujukan untuk pelajar dan juga kakitangan universiti.

S2 Bagaimanakah pihak Perpustakaan USIM menyemai budaya ilmu di kalangan warga universiti?

Perpustakaan memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan pelajar di universiti kerana perpustakaan menjadi tempat bagi mendapatkan rujukan. Namun situasi ini semakin berubah ekoran daripada perkembangan teknologi maklumat yang membolehkan pelajar mengakses maklumat di mana sahaja mereka berada. Namun ia tidak menjumudkan peranan perpustakaan dalam membantu universiti memartabatkan falsafah nilai Naqli dan Aqli. Ini kerana, Perpustakaan USIM menyediakan pelbagai platform untuk semua warga universiti terutamanya pelajar mendapatkan maklumat.

Maka dengan sebab itulah, Perpustakaan USIM mengambil pendekatan proaktif bagi mewujudkan budaya ilmu di universiti ini dengan penganjuran pelbagai program dan kaedah untuk manfaat semua warga kampus. Pihak perpustakaan percaya, budaya ilmu penting bagi membina citra universiti maka dengan sebab itulah usaha memperkasakan perpustakaan sebagai gedung ilmu dimantapkan secara berterusan.

Antara yang penting adalah dengan penubuhan Kelab Sahabat Kembara Ilmu (SKIL) yang banyak membantu merapatkan perpustakaan dengan pelajar universiti. SKIL merupakan kelab yang dianggotai oleh pelajar universiti dan mereka diberikan latihan serta bimbingan berkaitan dengan pengurusan perpustakaan. Kumpulan ini juga banyak membantu Perpustakaan USIM dalam penganjuran pelbagai program seperti Sambutan Hari Buku Sedunia, Seminar Pengurusan Pusat Sumber untuk pelajar sekolah dan sebagainya. Semua ini memberikan impak dalam membentuk penghayatan nilai Naqli dan Aqli bagi warga universiti dan juga masyarakat di luar USIM.

Pada masa yang sama, perpustakaan menyediakan kemudahan bagi warga universiti untuk mengakses pelbagai maklumat daripada pihak luar. Sehingga tahun 2016, Perpustakaan USIM mempunyai mempunyai sebanyak 11,029 koleksi Bahan Bersiri/Serial; Koleksi Khas 4,026 naskah; Koleksi Rak Terbuka/Open Shelf sebanyak 92,246 naskah; bahan Multimedia sebanyak 3,104; Manuskrip sebanyak 6 buah; dan pelbagai sumber elektronik seperti Digital Library, e-book dan e-Journal. Selain itu, Perpustakaan USIM menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti bilik tayangan, bilik seminar dan sebagainya.

S3 Bagaimana pihak Perpustakaan USIM bersedia menghadapi cabaran dunia digital di mana semua maklumat boleh diakses secara maya tanpa perlu lagi merujuk di perpustakaan?

Pada pendapat saya, perkembangan teknologi maklumat pada masa kini menyebabkan keperluan mendapatkan maklumat secara digital semakin digemari oleh pengguna jika dibandingkan dengan kaedah tradisional iaitu pergi ke perpustakaan. Ini kerana kemudahan perkhidmatan secara digital dalam alam maya bukan sahaja menjimatkan banyak masa tetapi pengguna juga boleh mengakses maklumat di mana sahaja dan pada bila-bila masa juga.

Walaubagaimanapun, kecenderungan pengguna, khususnya mahasiswa lebih suka merujuk media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Daripada perspektif akademik sikap terlalu merujuk kepada laman sosial ini merupakan suatu budaya yang tidak sihat. Kita boleh jadikan maklumat tersebut sebagai panduan tetapi pada masa yang sama ia perlu dirujuk dengan sumber yang lebih berautoriti. Maklumat yang diperolehi melalui hasil pembacaan daripada buku dan artikel adalah lebih tepat kerana mempunyai sumber dari penulis asal. Justeru, amat penting bagi pengguna berfikir dan menapis dahulu segala maklumat yang diperolehi daripada media sosial ini.

Justeru, bagi membolehkan Perpustakaan USIM tidak ketinggalan dalam era digital ini, maka Perpustakaan USIM turut melaburkan peruntukkan yang tinggi menyediakan kemudahan Sistem Pengurusan Perpustakaan iaitu Sistem Perpustakaan Bersepadu (Virtua); Sistem Pengurusan Dokumen Digital (e-Imtiyaz); EzProxy; Sistem Keselamatan Bahan Perpustakaan (Circulation Module, Tagging Station, Security Gate dan Pedestrian Barrier); Sistem Pengurusan Zon Internet; Library Entrance System; Sistem Pengurusan Layan Diri; SelfCheck Machine dan BookDrop Machine.

S4 Apakah cabaran yang tuan hadapi sepanjang dalam menguruskan Perpustakaan USIM ini?

Isu yang paling mencabar sepanjang saya menguruskan perpustakaan di USIM ini adalah bagaimana hendak membangunkan sumber manusia di perpustakaan ini. Ini kerana, menguruskan manusia memerlukan pelbagai strategi dan kemahiran memandangkan setiap individu mempunyai karekter yang pelbagai. Justeru, saya cuba untuk mengubah pemikiran negatif kepada yang positif di kalangan kakitangan. Saya juga cukup mementingkan konsep kebersamaan dalam organisasi bagi memastikan semua kakitangan perpustakaan mempunyai semangat untuk bersama-sama memajukan organisasi. Alhamdulilah, berkat kerjasama ini, perpustakaan telah berjaya memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Kualiti Naib Canselor USIM dan juga Anugerah Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK).

Selain itu, isu berkaitan dengan peruntukan juga merupakan cabaran yang perpustakaan perlu hadapi. Pada peringkat awalnya, buku rujukan perlu dibeli mengikuti rujukan bahan-bahan yang digunakan oleh pensyarah universiti. Namun, situasi kini berubah kerana terdapat pelbagai software yang perlu dibeli atau dilanggan oleh pihak perpustakaan untuk rujukan pengguna. Ini semua menambahkan kos tetapi amat perlu kerana jika tidak mempunyai kemudahan ini, ia akan memberi kesan kepada pengguna dan menjejaskan reputasi Perpustakaan USIM. Walaubagaimanapun, bagi membantu mengatasi sebahagian masalah kos ini, terdapat juga kemudahan bahan rujukan antara perpustakaan telah dibuat antara universiti tempatan. Kaedah ini banyak membantu membolehkan semua pihak mendapatkan manfaat secara maksimum.

S5 Apakah harapan dan pesanan tuan kepada warga universiti dalam memastikan Perpustakaan USIM ini dapat dimanfaatkan secara optimum?

Saya amat berharap agar warga USIM akan mempunyai DNA Naqli dan Aqli bagi memastikan sifat ini utuh dalam diri setiap warga USIM. DNA ini penting bagi saya kerana ia akan menjadi asas pembentukan karekter warga universiti bagi menghayati falsafah, misi, visi dan objektif penubuhan USIM ini. Pemahaman dan penghayatan budaya ilmu juga mampu menjadikan kita sebagai insan yang dapat berfikir secara kritis dan inovatif. Saya menyeru warga universiti menghargai ilmu dengan selalu mendampingi perpustakaan kerana masyarakat berilmu adalah masyarakat yang berjaya.