NILAI – Muhammad Zamratur Rahman bin Yussri, 22, mahasiswa tahun akhir program Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sekali lagi mengharumkan nama USIM apabila dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-39 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlangsung semalam.
Membawa pulang hadiah berupa RM 1,000.00, kemenangan ini diraih menerusi deklamasi puisi berjudul “Pustaka Tanah Leluhur” karya sasterawan tersohor Shamsudin Othman, yang membuai emosi juri dengan lontaran suara, penghayatan dan penguasaan pentas luar biasa.
Lebih membanggakan, ini merupakan kejayaan hatrik buat saudara Rahman selepas menjuarai pertandingan yang sama pada tahun 2023 dan 2024, sekali gus membuktikan konsistensinya dalam dunia deklamasi puisi tanah air.
“Saya sangat bersyukur dan terharu. Kemenangan kali ini sangat bermakna kerana saya menyiapkan diri lebih awal dengan latihan intensif bersama mentor serta rakan-rakan dari Kelab Penerbitan Kreatif KHUPAS Pusat Kebudayaan USIM. Setiap tahun cabarannya berbeza, dan saya cuba menampilkan gaya dan roh yang segar dalam penyampaian puisi,” ujar Rahman ketika ditanya mengenai persediaannya.
Anak sulung dari lima beradik ini, mengimbas kembali permulaannya dalam deklamasi puisi, Rahman berkata minat itu mula berputik sejak berumur 13 tahun, ketika di bangku sekolah menengah. Dorongan awal datang daripada guru dan ibu bapa yang melihat bakat semula jadi dalam dirinya, dan beliau sambung minat ini ketika memasuki tahun satu tahun pengajian di USIM iaitu pada tahun 2022.
“Persiapan ke peringkat Kebangsaan yang dijangka berlangsung pertengahan Ogos ini, saya akan tampilkan kelainan dan perbaiki lagi gaya persembahan untuk menggamit hati para penonton dan juga hakim dan juri. Saya juga berharap kejayaan ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk mendekati puisi dan sastera tanah air. Saya juga bercita-cita untuk terus mengangkat seni deklamasi ke tahap lebih tinggi, termasuk di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Rahman merupakan ahli aktif Kelab Penerbitan Kreatif (KHUPAS) di USIM, dan turut giat dalam pelbagai aktiviti kesusasteraan serta pengucapan awam.
Majlis dirasmikan oleh Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Ia merupakan gabungan GAPENA anjuran oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Perbadanan Kota Buku (PKB), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Universiti Malaya (UM).