NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh usaha melahirkan mahasiswa holistik apabila pelaksanaan Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) 2026 mencatat lonjakan penyertaan luar biasa, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran warga kampus terhadap kepentingan kecergasan fizikal sebagai pelengkap kecemerlangan akademik.
Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM melalui Eksekutif Sukan dan Rekreasi (ESR) itu berlangsung bermula 1 hingga 29 April 2026, dengan kerjasama Urusetia Sukan dan Rekreasi (USRP) serta Exco Sukan Fakulti dan Exco Sukan JAKSA. Penganjuran tahun ini mencipta sejarah apabila jumlah penyertaan meningkat kepada 1,432 peserta, berbanding hanya 300 peserta pada tahun sebelumnya.
Berpaksikan objektif membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa, UKJK dilaksanakan bagi menguji tahap kecergasan pelajar USIM melalui pendekatan yang lebih tersusun dan menyeluruh. Inisiatif ini turut memperlihatkan peranan MPP dalam menggerakkan program yang bukan sahaja bersifat fizikal, malah menyumbang kepada pembangunan sahsiah, disiplin diri dan daya tahan mahasiswa.
Menurut Eksekutif Sukan dan Rekreasi MPP USIM, Dini Batrisyia Azlan, pelaksanaan UKJK pada tahun ini dibawakan dengan sedikit kelainan melalui konsep seakan-akan SEGAK, iaitu sistem penilaian kecergasan yang biasa dilaksanakan di sekolah. Peserta mengisi data secara manual sebelum diproses ke dalam sistem bagi membolehkan pemantauan tahap kecergasan dilakukan dengan lebih teratur.
Beliau berkata, cabaran utama penganjuran adalah dari aspek pemasaran kerana UKJK masih baharu memasuki tahun kedua. Namun, penggunaan strategi kreatif melalui video dokumentasi di media sosial MPP dan FitUSIM berjaya menarik minat mahasiswa, sehingga mencetuskan peningkatan penyertaan yang memberangsangkan.
Setiap peserta diuji melalui lima komponen utama iaitu tekan tubi, bangkit tubi, jangkauan melunjur, lompat jauh berdiri dan larian 2.4 kilometer yang dilaksanakan di Kompleks Sukan Tuanku Najihah (KSTN). Keputusan penuh ujian pula boleh disemak secara telus melalui portal iStudent masing-masing.
Penyertaan dalam UKJK turut menjadi sebahagian daripada modul dalam sistem GIINA, yang berperanan memperkukuh profil graduan USIM untuk persediaan ke alam pekerjaan. Hal ini membuktikan bahawa pembangunan mahasiswa tidak hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi aspek kecergasan jasmani, kepimpinan diri dan kebolehpasaran graduan.
Respons luar biasa mahasiswa sehingga menuntut pertambahan sesi pada hari terakhir membuktikan bahawa UKJK kini semakin diterima sebagai budaya sihat dalam ekosistem kampus. Dengan sokongan padu USRP dan Exco Sukan Fakulti, UKJK ditetapkan sebagai acara tahunan USIM, selaras dengan visi universiti untuk melahirkan mahasiswa seimbang antara kecemerlangan intelektual dan ketahanan fizikal.
Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin, Omar Mukhtar Hishamuddin

