NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh pembudayaan bahasa dan sastera Arab melalui pementasan teater berbahasa Arab ‘Alf Layla Wa Laila’ atau ‘Seribu Satu Malam’ anjuran mahasiswa Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) pada 8 Mei 2026 baru-baru ini.

Pementasan tersebut menjadi platform pembelajaran kreatif yang menggabungkan elemen bahasa, sastera, budaya dan seni persembahan, sekali gus memberi ruang kepada mahasiswa untuk menghayati kegemilangan sastera Arab klasik merentasi zaman Jahiliyyah, Umawi dan Abbasiyyah. Persembahan turut mengangkat syair-syair Arab terpilih yang selari dengan silibus kursus sastera Arab.

Keunikan program ini terserlah apabila keseluruhan pementasan dikendalikan sepenuhnya oleh gabungan mahasiswa tahun satu, dua dan tiga, merangkumi penulisan skrip, lakonan, pengacaraan, persembahan nyanyian bahasa Arab serta aspek teknikal di belakang tabir. Pendekatan ini bukan sahaja mengasah penguasaan bahasa, malah memperkukuh kemahiran komunikasi, kreativiti, kerjasama berpasukan dan keyakinan diri mahasiswa.

Pada malam tersebut, kumpulan Mansoura daripada pelajar tahun tiga dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama bagi persembahan teater terbaik. Anugerah pelakon lelaki terbaik dan pelakon perempuan terbaik pula dirangkul oleh pelajar tahun satu, sekali gus membuktikan potensi bakat baharu dalam kalangan mahasiswa FPBU.

Timbalan Dekan FPBU, Dr. Hamadallah Mohammad Salleh, yang hadir merasmikan program berkata, pementasan teater Arab ini berperanan menghidupkan pemahaman terhadap syair dan sastera Arab merentas zaman melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan bersifat praktikal.

“Saya percaya pengasahan bakat yang diselaraskan dengan pembelajaran bahasa akan meningkatkan penguasaan bahasa pelajar berbanding di dalam kelas. Kaedah praktikal seperti ini membantu mahasiswa meningkatkan penguasaan bahasa sekali gus membolehkan mereka mengaplikasikan skrip tersebut dalam rutin harian,” katanya.

Dari aspek kebolehpasaran, pendedahan kepada sastera dan bahasa Arab melalui medium industri kreatif dilihat mampu membuka peluang lebih luas kepada pelajar untuk membina kerjaya dalam pelbagai bidang selepas bergraduasi. FPBU juga sedang memperkukuh jaringan industri melalui kerjasama strategik bersama pihak media serta perancangan kolaborasi dengan Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM bagi mengetengahkan bakat linguistik mahasiswa ke platform yang lebih luas.

Sambutan menggalakkan daripada penonton pelbagai fakulti membuktikan bahawa pementasan bahasa Arab mampu diterima secara meluas dalam kalangan warga kampus. Kejayaan program ini diharap menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program kebudayaan Arab pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh identiti USIM sebagai universiti Islam yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli.

Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin