NILAI – Keselamatan makanan bukan sekadar berkaitan kebersihan di premis atau pematuhan terhadap prosedur pengeluaran, malah menyentuh soal kesihatan awam, keyakinan pengguna, reputasi industri dan tanggungjawab pengeluar kepada masyarakat. Dalam industri makanan yang semakin kompleks dan kompetitif, graduan bukan sahaja perlu menguasai teori, tetapi juga memahami piawaian, dokumentasi, kawalan risiko serta budaya kerja yang diamalkan dalam persekitaran industri sebenar.

Menyedari keperluan tersebut, baru-baru ini Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Unit Latihan FaSTUpSkill (FUS) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Bioteknologi Makanan (FBSS) telah menganjurkan beberapa latihan berkaitan keselamatan makanan untuk mahasiswa Program Bioteknologi Makanan. Latihan Pengenalan dan Pelaksanaan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) melibatkan seramai 31 peserta, manakala Kursus Amalan Pengilangan Baik atau Good Manufacturing Practice (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal atau Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) pula disertai oleh 92 peserta.

Penganjuran program tersebut memperlihatkan komitmen USIM dalam memperkukuh kesiapsiagaan mahasiswa serta merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan kehendak sebenar industri. Pendedahan kepada MeSTI, GMP dan HACCP penting kerana keselamatan makanan tidak seharusnya dilihat sebagai pemeriksaan akhir selepas sesuatu produk siap dihasilkan. Sebaliknya, aspek keselamatan perlu dirancang, dikawal dan dipantau pada setiap peringkat pengeluaran, bermula daripada penerimaan bahan mentah sehingga produk sampai kepada pengguna.

Melalui latihan MeSTI, mahasiswa diberikan pendedahan mengenai sistem pensijilan keselamatan makanan serta peranannya dalam meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk makanan. Pemahaman ini membantu mahasiswa melihat bahawa pensijilan bukan hanya satu keperluan pentadbiran, tetapi mekanisme penting bagi memastikan pengeluar mematuhi tahap kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan.

Kursus GMP dan HACCP pula memperkenalkan mahasiswa kepada amalan pengilangan yang baik, kawalan kebersihan, dokumentasi kualiti serta kaedah mengenal pasti risiko keselamatan makanan melalui penentuan Titik Kawalan Kritikal atau Critical Control Point (CCP). Pengetahuan tersebut membantu peserta memahami bahawa setiap risiko dalam proses pengeluaran makanan perlu dikenal pasti lebih awal supaya langkah kawalan yang bersesuaian dapat dilaksanakan.